in

Nak Buat Live Jualan Tapi Tak Ada Studio? KUSKOP Tawar Kemudahan TikTok LIVE Percuma Untuk Usahawan!

Ana 25

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi kerjasama TEKUN Nasional dan TikTok Shop Malaysia terus membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan secara dalam talian.

Terbaharu, usahawan di Pulau Pinang kini boleh menggunakan kemudahan studio siaran langsung (LIVE) secara percuma menerusi pembukaan TikTok Shop LIVE Hub di Bandar Perda, Bukit Mertajam pada 15 November lalu.


Menariknya, usahawan hanya perlu membawa produk masing-masing untuk memulakan sesi jualan tanpa perlu mengeluarkan modal besar bagi menyediakan studio atau membeli peralatan sendiri.

Boleh Tempah Studio Percuma Selama Dua Jam Setiap Sesi

Whatsapp Image 2026 11 15 At 3.16.51 Pm

Menerusi inisiatif ini, usahawan boleh menempah studio secara percuma selama dua jam bagi setiap sesi.

Studio tersebut turut dilengkapi kemudahan kalis bunyi, internet berkelajuan tinggi, lebih 500 pilihan latar belakang digital serta pelbagai kesan khas untuk menjadikan sesi LIVE lebih menarik.

Bukan itu sahaja, usahawan juga berpeluang mengikuti latihan penghasilan video pendek, pemasaran dalam talian dan teknik jualan LIVE bagi membantu meningkatkan kemahiran mereka.

Kini Ada Enam TikTok Shop LIVE Hub Di Seluruh Negara

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,Steven Sim Chee Keong, sebelum ini hanya terdapat tiga TikTok Shop LIVE Hub di seluruh negara pada tahun 2025. 

Kini, tiga lagi pusat dibuka tahun ini di Kota Bharu, Kelantan; Kuantan, Pahang manaakl terbaru di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan kesemua enam pusat tersebut mempunyai 12 studio LIVE, tiga pusat latihan dan sebuah studio podcast.

“Khusus untuk Pulau Pinang, pusat ini mempunyai dua studio LIVE dan sebuah pusat latihan dengan sasaran memberi manfaat kepada lebih 10,000 usahawan.”

Lebih 1,300 Usahawan Catat Jualan Melebihi RM45 Juta

Menurut Steven Sim, penggunaan teknologi digital membolehkan peniaga kecil menjangkau lebih ramai pelanggan tanpa perlu membuka cawangan baharu atau menanggung kos operasi yang tinggi.

Beliau berkata, jika sebelum ini ramai peniaga hanya bergantung kepada pelanggan di sekitar kedai atau kawasan tempat tinggal, platform e-dagang kini membuka peluang untuk mereka menjual produk kepada pelanggan di seluruh negara.

Whatsapp Image 2026 11 15 At 3.16.52 Pm

“Kerjasama antara TEKUN Nasional dan TikTok Shop ini sudah membantu lebih 1,300 usahawan mencatatkan jualan terkumpul melebihi RM45 juta melalui platform TikTok Shop setakat September 2026.”

Beliau turut menegaskan bahawa KUSKOP akan terus menggalakkan kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak industri bagi membantu usahawan mendapatkan pembiayaan, meningkatkan kemahiran serta meluaskan pasaran.

Bagi usahawan yang berminat, TikTok Shop LIVE Hub Pulau Pinang beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Korang boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kelas latihan atau membuat tempahan studio di sini  atau akaun TikTok @livehubmy.

Sumber: Siaran Media Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.