Selama ini ramai menuntut supaya hukuman lebih berat dikenakan kepada pemandu mabuk khususnya yang mengakibatkan kematian.
Berita baik kepada semua apabila ‘golongan’ ini berdepan hukuman lebih berat iaitu maksimum penjara 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 jika sabit kesalahan.
Lesen juga digantung sehingga 20 tahun
Bagaimanapun hukuman itu akan direalisasikan sekiranya Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) diluluskan oleh Dewan Rakyat, lapor Malaysia Gazette.
Perkara itu dijelaskan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang berkata pesalah juga berdepan lesen memandu mereka digantung sehingga 20 tahun, berbanding 10 tahun sebelum ini.
Kita sudah mencadangkan kadar penjara maksimum dengan pindaan 15 tahun untuk kesalahan pertama dan 20 tahun bagi kesalahan berikutnya.
“Kadar denda dicadangkan dinaikkan maksimum RM20,000 sekarang kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda RM150,000.
Ujarnya cadangan perlaksanaan hukuman maksimum itu telah dipersetujui secara dasar oleh Jemaah Menteri pada 24 Jun lalu.
Malah katanya, kerajaan juga tidak akan berkompromi dalam isu tersebut kerana musibah yang berlaku disebabkan ‘golongan’ ini memberi kesan berpanjangan kepada waris, sekiranya mangsa meninggal dunia.
Beliau mengulas demikian ketika menjawab soalan tambahan ahli parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di Dewan Rakyat hari ini.