Bukan hanya berdepan hukuman penjara atau denda, pemandu yang menyebabkan kemalangan akibat memandu di bawah pengaruh alkohol juga mungkin perlu menanggung kerugian yang dialami mangsa atau keluarga mereka.
Kerajaan secara dasarnya bersetuju untuk memasukkan mekanisme tersebut dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Artikel berkaitan: Tular Bendera Malaysia Dipasang Terbalik, Anthony Loke Minta Jangan Politikkan Isu
Artikel berkaitan: Tular Gambar Notis KTM Tidak Beroperasi 26 Julai, Ini Penjelasan Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah tersebut akan menjadi tambahan kepada hukuman jenayah sedia ada termasuk penjara, denda serta kehilangan kelayakan memandu.
Menurutnya, mekanisme berkenaan bagaimanapun masih dalam proses penelitian, termasuk dari segi bentuk pampasan, kaedah penilaian dan pelaksanaannya sebelum cadangan pindaan dibentangkan di Parlimen.
“Pada masa ini, Seksyen 44 Akta 333 memperuntukkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.
“Akta ini juga mengawal kesalahan berkaitan kandungan alkohol melebihi had yang dibenarkan melalui Seksyen 45A serta peruntukan berkaitan ujian nafas dan spesimen.
“Namun demikian, kerajaan berpandangan selain hukuman punitif, strategi yang dilaksanakan perlu merangkumi pencegahan, penguatkuasaan, pendidikan dan kawalan terhadap pemandu berisiko tinggi,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Kenyataan itu dibuat ketika Loke menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berhubung hasrat Kementerian Pengangkutan menggubal mekanisme perundangan yang mewajibkan pampasan mandatori atau restitusi.
Dalam pada itu, Loke menegaskan kerajaan memandang serius kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, lebih-lebih lagi apabila ia mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.
Bagi aspek penguatkuasaan, Loke berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan operasi bersasar. Antara yang dilaksanakan termasuk pemeriksaan pengambilan alkohol di lokasi serta pada waktu yang dikenal pasti mempunyai risiko lebih tinggi.
Pada masa sama, usaha pencegahan turut diperkukuhkan menerusi pendidikan dan advokasi berkaitan bahaya memandu ketika berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Pengguna juga akan terus diingatkan supaya memilih alternatif perjalanan yang lebih selamat sekiranya mereka tidak berada dalam keadaan sesuai untuk memandu. Kerajaan turut sedang meneliti pengukuhan sistem mata demerit serta tindakan terhadap lesen memandu bagi pesalah berulang.

Menurut Loke, langkah tersebut dibuat selaras dengan keputusan dasar yang telah diputuskan bagi memperkukuh keseluruhan kerangka tindakan terhadap kesalahan berisiko tinggi.
Bagaimanapun, buat masa ini, kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dibawa terus ke mahkamah dan tidak termasuk dalam senarai kesalahan yang dikenakan mata demerit. Justeru, kerajaan mahu pendekatan terhadap kesalahan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada hukuman yang dikenakan terhadap pesalah.
Sebaliknya, perlindungan serta pembelaan kepada mangsa dan waris turut diberi perhatian, selain memperkukuh langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Sumber: Harian Metro
