Pemandu kereta BYD Seal yang terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Tertuduh, Raeven Goh Wey Haur, 24, yang bekerja sebagai pegawai bank, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5, di Jalan Kuching menghala ke Segambut, pada jam 3.44 petang, 10 Oktober lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu kenderaan sama secara berbahaya kepada orang awam, manakala pertuduhan ketiga pula membabitkan dakwaan gagal memberhentikan kenderaan selepas kemalangan berlaku.

Artikel berkaitan: “Asiah bangun, kita nak sampai hospital ni” – Saksi Kemalangan Sebak Dengar Rayuan Bapa Cuba Selamatkan Anak
Artikel berkaitan: “Saya harap undang-undang Malaysia adil” – Bapa Asiah Reda Tapi Mahu Keadilan Buat Arwah Anak
Bagi pertuduhan menyebabkan kematian, tertuduh berdepan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Sementara itu, kesalahan memandu secara berbahaya boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.
Bagi pertuduhan gagal memberhentikan kenderaan pula, tertuduh boleh dikenakan denda sekurang-kurangnya RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM36,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Bagaimanapun, majistret memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta menggantung lesen memandunya sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 19 November depan untuk pengurusan kes.
Sumber: Berita Harian
