in

Kanak-Kanak M*ut Kemalangan 6 Kenderaan, Pemandu BYD Seal Berjaya Dikesan Polis

Syaz Ft 15

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Polis berjaya mengesan pemandu kereta elektrik model BYD Seal yang dilaporkan meninggalkan lokasi kejadian selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 petang itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut, manakala dua lagi individu mengalami kecederaan.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan membabitkan lima kereta dan sebuah motosikal itu berlaku ketika aliran trafik di lokasi kejadian dari arah pusat bandar menghala ke Segambut bergerak perlahan.

Artikel berkaitan: Pemandu Mabuk Bakal Diwajibkan Bayar Pampasan Kepada Mangsa Atau Waris Kemalangan

Artikel berkaitan: Remaja 14 Tahun Pandu Kereta Lawan Arus, Sebabkan Kemalangan Di 2 Lokasi Berbeza

 

 

View on Threads

 

Siasatan awal mendapati kereta Perodua Bezza yang dipandu bapa mangsa berusia 30 tahun telah dirempuh dari belakang oleh kereta BYD Seal berkenaan.

“Rempuhan itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum kenderaan mangsa berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu kereta Nissan Almera, Kenderaan Serba Guna (MPV) Toyota Alphard dan Perodua Myvi,” katanya.

Akibat rempuhan parah di bahagian kepala, kanak-kanak malang yang berada di tempat duduk penumpang belakang Perodua Bezza itu disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bapa mangsa pula mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di bahagian kepala. Kedua-dua mereka kini menerima rawatan di HKL.

Sementara itu, tiga lagi pemandu membabitkan Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi dilaporkan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mengulas lanjut mengenai pemandu BYD Seal yang melarikan diri, Mohd Zamzuri mengesahkan suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dan kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Damansara akibat kecederaan gegaran pada otak.

“Suspek kini masih dalam pemantauan pegawai penyiasat dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan,” jelasnya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.

Pihak JSPT Kuala Lumpur turut menyeru orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.