Pelakon berkaliber, Zara Zya mendedahkan bahawa dia tidak lagi akan menerima sebarang tawaran watak sebagai ‘penyondol’ atau orang ketiga pada masa hadapan. Keputusan nekad itu dibuat selepas dia menjayakan karakter bernama Dhia menerusi drama terbaharu, Luka Di Hujung Setia.
Pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 41, menjelaskan bahawa karakter sedemikian rupa sebenarnya langsung tidak serasi dengan personaliti dirinya. Justeru, dia mahu mengambil langkah lebih selektif dalam memilih naskhah selepas ini.

Artikel berkaitan: “Ajak ke hotel, rupanya ramai lelaki” – Zara Zya Dedah Pernah Hampir ‘Dijual’ Oleh Rakan Artis Sendiri
Artikel berkaitan: “Beria doktor suruh staf keluar bilik” – Zara Zya Disangka Pakai Susuk
View on Threads
“Ini pertama dan terakhir kali saya bawa watak penyondol. Lepas ni insya-Allah tak ada lagi.
Bukan takut dibenci peminat atau sesiapa tetapi ini untuk diri saya sendiri,” katanya.
Berkongsi mengenai cabaran di set penggambaran, Zara mengakui dia sebenarnya cuba sedaya upaya untuk mengehadkan hubungan fizikal dengan hero gandingannya, Irfan Zaini. Bagaimanapun, dia tidak menafikan wujud beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan ketika proses penggambaran berlangsung.
“Mula-mula pun saya cakap kita boleh berbincang untuk cuba elak babak-babak bersentuhan tetapi apabila dalam penggambaran agak sukar juga.
Di masa hadapan saya akan lebih berhati-hati. Saya rasa tak sesuai untuk watak Dhia (penyondol) ini tetapi saya cuba sehabis baik.
Saya pun takut nak jayakan watak ini sebab kita bukan orang macam itu,” jelasnya lagi.
Terdahulu, tular video teaser episod akan datang drama Luka Di Hujung Setia yang memaparkan beberapa babak mesra di antara Zara dan Irfan sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen. Rata-rata peminat meluahkan rasa kurang senang dan berpendapat adegan intim sedemikian tidak manis serta kurang selari dengan imej Zara yang kini tampil berhijab.
Sedia maklum dengan kritikan yang melanda, Zara dengan rendah hati memohon maaf dan menitipkan pesanan agar penonton melihat karya tersebut daripada sudut pandang yang lebih luas dan positif.
“Saya faham peminat yang kecewa tapi saya juga faham dengan kerja yang saya buat.
Untuk sesiapa yang kecewa saya minta maaf sangat. Macam saya cakap sebelum ini, tontonlah drama ini secara positif sekadar niat ingin menonton saja. Apa yang kami persembahkan hanyalah kisah realiti dalam masyarakat,” ujarnya.
Sebagai info, Zara membina nama menerusi Dewi Remaja 2005 sehinggalah mencetuskan fenomena dalam Love You Mr. Arrogant (2013), pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2019 ini sememangnya terkenal dengan bakat yang versatil.
Sumber: Threads
