8 Mac 2013 adalah tarikh yang tidak mungkin dilupakan oleh rakyat Malaysia, malahan seluruh penduduk dunia kerana pada tarikh keramat inilah pesawat MH370 milik Malaysia Airlines telah hilang.
Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China. Dengan muatan 239 penumpang dan anak kapal, sehingga kini, misteri kehilangannya masih belum ada jawapan.
Tragedi hitam itu masih berbekas kerana walaupun sudah 7 tahun berlalu, pengakhiran episod tragis itu masih belum terungkai. Sumber Berita Harian berjaya mendapatkan beberapa cerita keadaan keluarga mangsa kehilangan pesawat tersebut.
Anak perempuan ketua pramugara
Anak perempuan kepada ketua pramugara pesawat MH370, Maira Elizabeth Nari berkata tiada apa yang boleh dilakukan dan kehidupan perlu diteruskan. Tambah anak kepada Andrew Nari itu lagi, perasaannya sama seperti tujuh tahun lalu ketika berlakunya kejadian itu semasa umurnya hanya 17 tahun.
Adik ipar ketua pramugari
Adik ipar kepada ketua pramugari pesawat malang, Goh Sock Lay yang enggan dikenali berkata mereka ingin melupakan peristiwa hitam itu. Tambah beliau lagi, suami kepada ketua pramugari yang kini bekerja di sebuah kilang sarung tangan di Seremban, Negeri Sembilan pun sudah lama tidak pulang ke kampung dan mereka sekeluarga hanya berhubung menerusi panggilan telefon untuk bertanya khabar.
Masih ada sinar harapan
Dalam laporan Berita Harian turut disertakan pandangan seorang pakar penerbangan, Profesor Dr. Mohd Harridon Mohamed Suffian, juruterbang ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata, tiada petunjuk baharu mengenai kehilangan pesawat itu setakat ini dan keadaan itu kemungkinan menggusarkan ramai pihak.
Ada beberapa kes rujukan yang menyaksikan bangkai kapal terbang dijumpai selepas hilang beberapa tahun dan tiada salahnya jika ada pihak yang masih berhasrat untuk meneruskan usaha mencari pesawat itu.
Sebagai contoh, bangkai kapal terbang Piper dijumpai di Michigan, Amerika Syarikat selepas 21 tahun menghilang, manakala bangkai pesawat Learjat dijumpai di New Hampshire, Amerika Syarikat 3 tahun kemudian, tambah beliau.
Esok, 8 Mac, genaplah 7 tahun pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines, MH370 hilang dari imbasan radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan sebelum ini dilaporkan belum memutuskan sama ada akan melancarkan semula pencarian pesawat MH370 atau tidak kerana tiada sebarang bukti mahupun petunjuk baharu mengenainya untuk menggerakkan misi pencarian.
Menurut sumber dari Kementerian Pengangkutan, kerajaan akan membuat satu pengumuman penting berkaitan tragedi itu dalam masa terdekat.
Baca: “Kejap je dah 6 tahun” – Kereta Porsche Ditinggalkan Selama 6 Tahun, Rupanya Milik Penumpang MH370