Korang yang suka healing pusing-pusing Kuala Lumpur atau tengah rancang nak bawa kawan dan keluarga jalan-jalan sekitar Lembah Klang, ada berita baik untuk korang!
Sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 (VM2026-2027), Rapid KL dengan kerjasama Tourism Malaysia baru sahaja memperkenalkan Pas Rapid Kembara tujuh hari yang menawarkan perjalanan tanpa had menggunakan rangkaian rel dan bas Rapid KL.
Paling menarik, pas ini bukan sekadar memudahkan pergerakan, tapi datang dengan pelbagai tawaran istimewa yang buat percutian korang lagi berbaloi.
Naik Tren & Bas Tanpa Had Selama 7 Hari Pada Harga Lebih Jimat!
Bagi korang yang nak meneroka tarikan pelancongan sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang tanpa perlu pening kepala fikir pasal trafik atau parkir, pas baharu ini ditawarkan pada harga RM110 untuk perjalanan tanpa had selama tujuh hari.
Kiranya, korang hanya bayar untuk enam hari tapi dapat guna selama tujuh hari memang jimat lebih 10 peratus! Korang boleh dapatkan pas ini di semua kaunter khidmat pelanggan Rapid KL, hab bas terpilih, atau beli terus melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

Menerusi rangkaian pengangkutan awam Prasarana yang meliputi hampir 90 peratus lokasi tumpuan pelancong di Lembah Klang, korang boleh bergerak dengan mudah dari satu destinasi ke destinasi lain.
Antara lokasi menarik yang boleh diakses termasuklah Bukit Bintang, Pasar Seni, KLCC, Bukit Nanas, sehinggalah ke Seri Kembangan seperti Farm in the City menggunakan laluan MRT.
Diskaun Sehingga 50 Peratus Di Lebih 40 Rakan Strategik!
Bukan setakat tambang murah, pemegang Pas Rapid Kembara juga bakal menikmati diskaun dan tawaran istimewa antara 10 hingga 50 peratus di lebih 40 premis rakan strategik yang merangkumi empat kategori utama iaitu tarikan pelancongan, makanan dan minuman (F&B), gaya hidup serta perkhidmatan. Antara rakan strategik terpilih yang turut serta termasuklah Jadi Batek, Immersify KL, Kakatoo, Sunway Velocity Mall, dan DurianBB.
Sasaran 50 Peratus Pelancong Guna Pengangkutan Awam
Dalam pada itu, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dr Prodyut Dutt, berkata inisiatif ini mencerminkan komitmen Rapid KL untuk memperluas peranan pengangkutan awam dalam menyokong industri pelancongan negara.

“Melalui kerjasama dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, kami mahu menjadikan Rapid KL pilihan utama pelancong untuk meneroka Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.
“Pas tujuh hari serta pelbagai tawaran daripada rakan strategik memberikan nilai tambah kepada perjalanan mereka, selain memudahkan akses ke destinasi dan tarikan tempatan.
“Kami juga berharap inisiatif ini dapat menggalakkan lebih ramai pelancong menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian, sekali gus menyokong usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mudah diakses, saling berhubung dan lestari.”
Tambah beliau lagi, Prasarana meletakkan aspirasi agar 50 peratus pelancong yang datang ke Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam memandangkan ia merupakan cara paling murah dan efisien untuk bergerak.
Perluas Kerjasama & Bakal Diperkenal Di Negeri Lain
Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, kerjasama ini bertujuan membuka mata pelancong tempatan mahupun antarabangsa bahawa pengangkutan awam mampu menghubungkan pelbagai produk pelancongan dengan lebih mudah.

“Bagi pihak Tourism Malaysia pula, kita ingin memaklumkan kepada pelancong asing dan juga pelancong domestik bahawa pelancongan ini bukan sekadar terhad kepada bas-bas pelancongan, malah kita boleh guna pengangkutan awam untuk menghubungkan antara satu produk dan satu produk yang lain.
“Kolaborasi ini bukan sekadar Pas Rapid Kembara sahaja, malah dari sudut informasi tentang produk pelancongan apa yang ada di sini dan di sana. Kadang-kadang rakyat kita sendiri pun tidak sedar tarikan yang ada di sekitar Kuala Lumpur, jadi inilah yang kita cuba ketengahkan.”
Beliau turut memaklumkan bahawa selain Kuala Lumpur, pihak Tourism Malaysia bercadang untuk memperluaskan inisiatif seumpamanya ke negeri lain seperti Pulau Pinang dan Johor Bahru mengikut keperluan pada masa akan datang.
Jom Kumpul Setem & Tebus Hadiah Misteri!

Kalau korang jenis yang suka cabaran santai sambil berjalan, jangan lepaskan peluang menyertai kempen Kembara Rapid Stamp Rally yang berlangsung dari 18 November 2026 hingga 17 Mei 2027. Pasport Kembara Rapid ini ditawarkan kepada 10,000 pembeli pas terawal di kaunter khidmat pelanggan Rapid KL.
Korang hanya perlu mengumpul 10 setem di stesen rel Rapid KL terpilih seperti Ampang Park, KLCC, Kampung Baru, Masjid Jamek, Pasar Seni, KL Sentral, Bukit Bintang, Bukit Nanas, Hang Tuah, dan Pudu, serta 5 setem tambahan di premis rakan strategik untuk menebus hadiah misteri dan hadiah bonus tertakluk kepada terma serta syarat.
Jadi, hujung minggu ni dah tahu nak pergi mana? Jom naik tren dan bas Rapid KL, pusing KL sampai puas!
Sumber: Siaran Media Prasarana Berhad & Tourism Malaysia
