Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan tindakan drastik dengan memperketat semakan latar belakang pekerja serta mewajibkan ujian saringan dadah secara berperingkat kepada semua juruterbangnya berkuat kuasa serta-merta.
Langkah berkenaan diambil susulan insiden penahanan seorang juruterbang Malaysia Airlines di Jakarta berhubung kes penyeludupan dadah baru-baru ini.
Artike berkaitan: 6 Beradik Penganggur Berdepan Hukuman Gantung Atas Pertuduhan Edar D*dah
Artikel berkaitan; “Beg dibawa tiada imej mencuriga AKPS Perjelas Isu Juruterbang Malaysia ‘Kantoi’
Dalam satu kenyataan rasmi, MAG menegaskan komitmen mereka menerusi pendekatan zero-tolerance (tiada kompromi) terhadap sebarang salah guna kuasa atau pelanggaran tatatertib dengan menambah baik prosedur keselamatan sedia ada bagi meyakinkan penumpang serta pemegang taruh.
Sebagai langkah awal, MAG telah memulakan ujian saringan dadah wajib ke atas kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines. Fasa pertama ujian berkenaan dijangka selesai sepenuhnya menjelang 15 Ogos ini.
Mana-mana juruterbang yang gagal melengkapkan saringan berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan tidak akan dibenarkan bertugas (rostered) sehingga dibebaskan sepenuhnya mengikut prosedur syarikat dan penetapan kawal selia. Program saringan wajib ini juga akan dilaksanakan secara berterusan serta bakal diperluas kepada semua anak kapal (cabin crew).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, keselamatan operasi dan tahap kesediaan kru untuk bertugas merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi.
“Kami memandang serius sebarang pelanggaran piawaian keselamatan dan telah bertindak pantas untuk meningkatkan saringan dadah wajib ke atas semua juruterbang aktif kami.
Walaupun insiden terpencil ini tidak mencerminkan profesionalisme sebahagian besar warga kerja kami, kami akan terus memperkasakan kawalan keselamatan demi mengekalkan keyakinan penumpang serta pihak berkepentingan,” katanya.
Mengulas mengenai insiden di Jakarta, MAG menjelaskan bahawa individu terbabit bertugas sebagai Pegawai Kedua (Second Officer) dan menumpang di kerusi pemerhati (cockpit jump seat) sewaktu kejadian. Individu berkenaan bukan sebahagian daripada juruterbang yang mengendalikan penerbangan tersebut serta telah bercuti selama dua hari sebelum penerbangan bermula.
“Penerbangan tersebut dikendalikan secara selamat sepanjang masa oleh dua juruterbang berkaliber yang bertugas,” jelasnya.
Pengumuman terbaharu ini dibuat menyusul arahan kerajaan awal minggu ini yang meminta MAG menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan semakan latar belakang pekerja dan perlindungan operasi.
Sumber: Business Today
