Hari ini telah genap seminggu negara kita dikejutkan dengan berita banjir besar di beberapa buah negeri yang disebabkan perubahan angin dari Taufan Rai.
Namun, Taufan Rai yang telah bertindak ganas di negara seberang iaitu Filipina telah menyebabkan hampir kesemua kawasan bagai padang jarak padang tekukur kerana mengalami kerosakan yang teruk.
Menurut mStar, ianya telah membimbangkan penyanyi Mark Adam tentang keselamatan keluarga di sana. Walaupun sedang giat aktif membantu mangsa banjir di negara kita, Mark menjelaskan bahawa dia tidak lupa untuk sentiasa menghubungi keluarganya di sana.
“Di sana sekarang teruk terjejas akibat Taufan Rai… Ianya merupakan taufan yang terkuat dan terburuk pernah berlaku sehingga merosakkan rumah keluarga saya…” – Ujarnya
Tambahnya lagi, boleh dikatakan hampir semua rumah di kawasan perumahan keluarganya mengalami kerosakan teruk sehingga ada bumbung yang tercabut dan jatuh ke rumah jiran lain akibat dibawa angin Taufan Rai.
Rumah dibina tahun 2019, doa agar penduduk Filipina tabah
Kawasan sekitar bandar Cebu juga menggunakan generator ketika ini kerana terputus bekalan elektrik. Mark memberitahu bahawa dirinya sungguh lega selepas mendapat tahu ibu dan juga adiknya tidak mengalami kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri.
Ternyata rumah milik keluarga Mark Adam itu merupakan rumah baru yang telah siap dibina pada tahun 2019 dan sehingga kini, kos kerugian yang melanda keluarga Mark masih belum diketahui.
Dia juga memberitahu bahawa dia telah lama merancang untuk pulang melawat keluarga di sana namun disebabkan pandemik Covid-19, masih belum ada penerbangan ke sana dan juga perlu mengikuti beberapa prosedur.
Di kesempatan itu juga, Mark mengharapkan agar penduduk di Filipina terus tabah menghadapi musibah ini dan dimudahkan segala urusan.
Min harap semua bertabah untuk hadapi bencana ni… Mungkin ada hikmah besar disebalik apa yang terjadi… Kita teruskan positif ya…



