Rundingan semula telah dibuat oleh Malaysia dan syarikat-syarikat pembekal vaksin Covid-19 dan menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin, negara kita bakal menerima kesemua 37 juta dos vaksin tersebut menjelang September nanti.
Daripada rundingan yang telah diadakan, pihak Sinovac akan membekalkan semua tempahan vaksin negara ini sebanyak 12 juta dos pada Julai manakala Pfizer akan menghantar 25 juta dos lagi, tambah Khairy.
Selain itu, kapasiti pemberian vaksinasi harian yang ketika ini adalah 100,000 suntikan pula akan ditingkatkan menjadi 300,000 suntikan menjelang bulan hadapan (Julai).
Tambah beliau lagi, lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bakal dibuka selain akan diwujudkan sebuah PPV Mega yang dapat memberikan suntikan vaksin dengan kadar 5,000 hingga 10,000 suntikan dalam masa satu hari.
1,000 PPV klinik swasta akan dibuka bagi membolehkan akses vaksinasi lebih mudah kepada orang ramai
Menurut Khairy lagi, sejumlah 1,000 klinik swasta akan dibuka sebagai PPV supaya dapat memberikan akses vaksinasi yang lebih mudah kepada orang awam. Ini juga termasuklah PPV di hospital swasta serta PPV pandu lalu.
Dengan lebih banyak vaksin yang diterima, serta pelbagai inisiatif untuk memudahkan akses kepada vaksinasi ini, diharapkan kadar vaksinasi dapat ditingkatkan daripada 100,000 dos sehari kepada antara 200,000 hingga ke 300,000 dos sehari. Proses ini akan diteruskan sehinggalah kita mencapai imunisasi kelompok menjelang akhir tahun nanti.
Menurut laporan, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini, hanya 5% populasi di Malaysia telah mendapat suntikan vaksin sejak 24 Februari lalu. Angka ini sepatutnya lebih tinggi lagi jika tidak bergantung kepada proses penyediaan dan pengedaran dari pembekal.
Sumber : FMT
Baca : “30 trak akan digunakan” – Kerajaan Bakal Laksana Pemberian Vaksin Guna Trak Bergerak, Mula di KL