Lelaki Dari Pasir Mas Maut Ditembak Suspek Tidak Dikenali Ketika Cuba Menyusup Masuk Thailand

Seorang warga Malaysia ditemui mati dengan kesan tembakan di Tak Bai, Narathiwat, selatan Thailand malam kelmarin (18 Ogos). Menurut Bernama, mangsa dikenali sebagai Mohd Ridzuan Ab Llah, 31, dari Pasir Mas, Kelantan dan mayatnya ditemui di Kampung Tasik di Tak Bai kira-kira jam 8.40 malam (waktu tempatan).
Ketua Polis Tak Bai Kol Pol Suthawet Thareethai berkata,
Mangsa dipercayai terkena tembakan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan awal mendapati lelaki tersebut tiada rekod masuk ke Thailand.”

Menurut Harian Metro, mangsa difahamkan sedang menyusup ke Thailand untuk menyelesaikan urusan peribadi sebelum mati ditembak oleh seorang suspek tidak dikenali. Akibat tembakan itu, mangsa maut serta merta di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat mengesahkan kejadian itu dan berkata mangsa berasal dari Kampung Kalor, Gelang Mas.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tok Bai untuk dibedah siasat dan diserahkan kepada keluarga yang telah pun dimaklumkan tentang kejadian terbabit. Polis kini sedang menyiasat punca kejadian dan bagaimana mangsa boleh berada di Thailand.
Baca: Warga Emas Ditemui Mati Dalam Keadaan Tertiarap Dengan Separuh Badan Ditimbus Tanah Di Ukay Perdana




