Pernah tak anda bayangkan keadaan apabila ratusan lipas ditemui dalam pesawat yang anda duduki? Apa yang anda akan lakukan? Menjerit? Terjun dari kapal terbang? Ataupun terus pengsan tak sedarkan diri?
Inilah yang dihadapi penumpang dua penerbangan antarabangsa yang berlepas ke Kunming, China pada Jumaat lalu apabila mereka dikejutkan dengan serangan ratusan lipas ketika pesawat tersebut berada di atas awan. Habislahhh…
Menurut World of Buzz, meskipun negara asal, tarikh penerbangan dan syarikat penerbangan yang terlibat tidak dinyatakan dengan jelas, ia difahamkan bahawa pesawat yang terlibat dalam kejadian ini adalah dari syarikat penerbangan China tempatan berdasarkan foto yang diambil oleh inspektor kuarantin.
Sebaik sahaja pesawat tersebut mendarat, kakitangan kawalan serangga tiba di tempat kejadian untuk mengeluarkan semua lipas berkenaan dan melakukan pengasapan ke dalam kapal terbang tersebut. Aduhaiii harap keluarlah semua lipas tu kan!
Spesis lipas yang menyerang kapal terbang tersebut merupakan lipas German atau Blattella germanica, menurut South China Morning Post.
Buat masa ini, lipas-lipas tersebut sedang diperiksa oleh Kunming Changshui International Airport’s Entry-Exit Inspection dan Biro Kuarantin untuk memastikan sama ada terdapat bakteria atau virus yang boleh mengakibatkan penyakit.
Susulan kejadian ini, pihak berkuasa lapangan terbang telah mendesak syarikat penerbangan untuk memperbaiki tahap kebersihan kesemua pesawat mereka, terutama sekali pesawat yang kerap keluar masuk negeri.
Diharapkan syarikat penerbangan yang terlibat mendengar nasihat daripada pihak berkuasa dan berusaha untuk menjaga kebersihan pesawat mereka sebelum terjadinya perkara buruk seperti ini.
Nampak seekor lipas pun dah lari macam apa. Inikan pula ratusan! Tak pasal-pasal ada yang terjun dari flight nanti karang!