Bagi yang tidak mengalaminya mungkin isu ini hanya dianggap biasa-biasa. Namun siapa tahu perit yang ditanggung mangsa gangguan seksual yang melibatkan bebanan emosi dan psikologi mereka. Dengan itu, hal ini tidak sepatutnya dipandang ringan oleh mana-mana pihak.
Walau bagaimanapun, ada juga di antara mulut-mulut jahat menyalahkan mangsa dengan mengatakan pakaian merekalah yang menjadi sebab gangguan seksual ini berlaku. Dengan pernyataan seperti ini, suspek yang melakukan perkara terkutuk itu seakan dibela dan kesalahan mereka hanya dipandang sebelah mata.
Namun jangan bimbang! Kini, dengan kelulusan Akta Gangguan Seksual daripada Parlimen Belia Malaysia yang mahu mempercepatkan enakmennya, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah menyatakan satu mesej penting, lapor MMO.
Semasa sesi perbincangan berlangsung di parlimen, menteri tersebut berkata,
“Saya secara peribadinya bersetuju dengan Akta Gangguan Seksual yang digubal kerajaan… walaupun ada beberapa peruntukannya mungkin boleh digunakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan ini di bawah Kanun Keseksaan, namun kita perlu akta khas.”
“Perkara ini juga telah mendapat perhatian saya sebagai menteri kerana terdapat beberapa kes yang melibatkan insiden rogol.”
Dia juga menambah, apa yang dipakai oleh wanita tidak boleh dijadikan sebab untuk gangguan seksual berlaku dengan mengatakan bahawa kebanyakan perempuan adalah mangsa dan ia tidak adil kerana beberapa sebab dinyatakan hanya untuk membenarkan kelakuan tersebut.
Baguslah akhirnya ada juga yang sedar mengenai hal ini. Harapnya Akta Gangguan Seksual ini akan digubal tidak lama lagi supaya lebih ramai mangsa mendapat keadilan yang sewajarnya.
Baca: Wanita Menangis Cerita Saat Terima Gangguan Seksual Jururawat Lelaki Separuh Sedar