Dengan kemajuan telefon pintar yang ada di pasaran sekarang ni telah menjadikan ramai orang obses bergambar. Ia juga turut menjadi satu bentuk dokumentasi apabila berjumpa dengan orang atau pergi ke sesuatu tempat.
Tak cukup dengan itu, lambakan platform media sosial juga turut menjadikan salah satu sebab wujudnya trend orang mengejar populariti. Bagi mendapatkan pengesahan sosial, ramai orang sanggup melakukan benda-benda yang tak masuk akal bila kemudahan telefon pintar dan media sosial tersedia di hujung jari.
Malah, satu kajian yang dibuat pada tahun 2018 mendapati, sebanyak 259 kematian yang berlaku dari Oktober 2011 sehingga November 2017 adalah semasa mengambil selfie. Walaupun wanita lebih ramai mengambil selfie berbanding lelaki, kajian menunjukkan lebih ramai lelaki yang maut ketika mengambil selfie.
Jadi, dekat bawah ni adalah beberapa kes kematian disebabkan selfie yang pernah direkodkan berlaku di seluruh dunia. Jom tengok!
Artikel berkaitan: “Buat content sampai permainkan solat” – Netizen Kecam Wanita Indonesia Buat ‘Trend’ Selfie Sambil Sujud
Artikel berkaitan: Niat Nak ‘Selfie’ Atas Landasan Bertukar Tragedi, Remaja Maut Dilanggar Kereta Api
1. Jatuh dari tingkat 27
Pada Oktober 2018, seorang wanita berusia 44 tahun telah terjatuh dari tingkat 27 sebuah apartment di Panama, Portugal.
Sandra Manuela Da Costa Macedo yang merupakan penyewa di sana dikatakan telah menghabiskan masa selama beberapa minit mengambil selfie sebelum duduk di selusur balkoni untuk mengambil selfie terakhirnya sebelum dia gagal mengimbangi dirinya dan jatuh ke bawah.
Dikatakan, sebelum wanita malang ini jatuh, dia telah diberi amaran oleh pekerja binaan di blok hadapan untuk berhati-hati namun amaran tersebut tidak diendahkan.
Insiden ibu anak dua jatuh dari tingkat 27 rumahnya ini telah dirakamkan oleh pekerja binaan berhampiran menunjukkan dia jatuh sambil memegang selfie stick.
2. Lemas di tasik
Tujuh remaja telah lemas di dalam Tasik Mangul yang terletak di Kahi Taluka, India selepas bot yang mereka naiki terbalik pada Mac 2015.
Tujuh remaja yang berusia lewat belasan tahun sehigga awal 20-an ini telah masuk ke dalam bot untuk mengambil selfie berkumpulan semasa berpiknik dengan tiga kawan lain di tasik tersebut.
Bot tersebut terbalik apabila mereka semua mula duduk di bahagian yang sama untuk mengambil selfie. Manakala tiga lagi rakan yang ada di atas darat telah menjerit meminta pertolongan apabila melihat bot tersebut mula terbalik.
Sekumpulan orang yang ada di sana telah berkumpul untuk menyelamatkan remaja-remaja ini, malangnya pencahayaan yang gelap menyukarkan urusan untuk menyelamatkan mereka.
Akhirnya, kesemua mayat tujuh remaja ini berjaya ditemui pada pagi keesokan harinya.
3. Kemalangan kereta
Seorang wanita berusia 32 tahun telah meninggal dunia selepas keretanya berlanggar dengan sebuah lori sampah kitar semula di lebuhraya North Carolina, Amerika Syarikat.
Courtney Ann Sanford yang memandu Toyota Corolla telah melintasi pembahagi jalan dan terlanggar sebuah lori dari arah bertentangan. Lori tersebut telah terbabas dan melanggar sebuah pokok manakala kereta Courtney telah terbakar selepas terbabas dan masuk ke dalam longkang.
Laporan menyatakan bahawa Courtney ketika itu sedang memandu selaku 72km/jam sebelum melanggar lori tersebut dan siasatan mendapati, wanita ini meninggal dunia beberapa saat selepas mengambil selfie dan memuat naik gambarnya di Facebook dengan kapsyen, “The happy song makes me HAPPY’, merujuk kepada lagu Pharrell Williams.
Courtney meninggal serta merta di tempat kejadian.
4. Dibunuh beruang
Seorang lelaki telah dibunuh oleh seekor beruang ketika dia cuba untuk mengambil selfie bersama haiwan tersebut pada Mei 2018.
Prabhu Bhatara telah menghentikan lori yang dipandunya untuk membuang air kecil di sebuah hutan di Odisha, India.
Di sana, Prabhu telah ternampak seekor beruang yang cedera dan bercadang untuk mengambil selfie dengan beruang tersebut. Apabila dia menghampiri haiwan ini, beruang tersebut telah menyerangnya.
Dikatakan, penduduk tempatan di sana telah pun memberi amaran kepada Prabhu untuk tidak menghampiri beruang tersebut namun tak dilayan.
Satu video telah diambil menunjukkan lelaki ini cuba untuk melepaskan diri dari cengkaman haiwan tersebut manakala seorang lagi lelaki dan anjing liar telah dilihat cuba menakutkan binatang buas tersebut namun tidak berjaya.
5. Ditembak polis
Pada Jun 2015, seorang remaja, Farhan yang berusia 15 tahun telah mengambil selfie sambil mengacukan pistol mainan ke arah rakannya Fahad yang berusia 14 tahun sebelum mereka ditembak oleh seorang pegawai polis di Punjab, Pakistan.
Ekoran ini, dua remaja ini telah dikejarkan ke hospital berhampiran namun Farhan telah meninggal dunia ekoran pendarahan berlebihan.
Pegawai polis dan empat rakannya telah ditahan dan didakwa atas dakwaan membunuh. Pegawai polis ini mengatakan yang dia dan rakannya tersilap menyangka dua remaja ini merupakan perompak dan pistol mainan yang dipegang merupakan pistol sebenar.
Farhan berniat untuk memuat naik selfie tersebut di Facebook miliknya.
Sumber: Turbo Future