Suasana di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) malam tadi diselubungi rasa pilu dan sayu yang teramat sangat apabila dua beradik yang terselamat dalam kemalangan maut diberi peluang menatap wajah ibu bapa mereka buat kali terakhir.
Kedua-dua beradik itu, Hasya Fahira Zulkifli, 11, dan adiknya, Muhammad Adam, 8, terpaksa dibawa turun dari wad menggunakan kerusi roda dengan bantuan dua orang jururawat.
Mereka yang masih dalam keadaan menanggung kesakitan akibat kecederaan serta kesan lecur di kaki kuatkan semangat demi memberi penghormatan terakhir buat kedua-dua ibu bapanya.
Artikel berkaitan : Dua Wartawan Kemalangan Ketika Bertugas Di Ipoh, PERKESO Tampil Bantu Urus Pemulihan
Artikel berkaitan : “Asiah bangun, kita nak sampai hospital ni” – Saksi Kemalangan Sebak Dengar Rayuan Bapa Cuba Selamatkan Anak
Jururawat tak mampu tahan sebak
Menerusi Harian Metro, saat dibawa masuk ke ruang forensik, air mata Hasya Fahira tidak henti-henti mengalir.
Kanak-kanak berusia 11 tahun itu dilihat berkali-kali mengucup jenazah ibu dan ayahnya, sebelum tindakan menyayat hati itu turut diikuti oleh Muhammad Adam.
Detik paling meruntun jiwa berlaku sebaik sahaja van jenazah mula bergerak keluar membawa pergi jasad kedua-dua orang tua mereka. Sambil berlinangan air mata, dua beradik ini hanya mampu melambaikan tangan perlahan.

Melihat kepiluan dua beradik yatim piatu itu, jururawat yang bertugas mengiringi mereka turut tewas dengan emosi dan dilihat mengesat air mata menahan sebak.
Kemalangan tersebut berlaku pada tengah hari semalam di Jalan Yong Peng-Muar, berdekatan Parit Yaani.
Kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki empat beranak itu dilaporkan dihempap sebuah lori membawa muatan pasir yang terbabas dipercayai akibat tayar pecah.

Ia telah meragut nyawa Mohd Hardi Mohd Husin, 46, dan isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44, di tempat kejadian.
Dua beradik itu bagaimanapun terselamat namun mengalami kecederaan di kepala, luka serta lecur di bahagian kaki dan kini masih menerima rawatan lanjut di HSNI.
Jenazah mangsa dibawa pulang ke rumah keluarga di Kampung Parit Maimon, Parit Sulong, untuk disolatkan.

Lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai dan penduduk kampung hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.
Tepat jam 11.45 malam tadi, kedua-dua jenazah telah selamat disemadikan bersama di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Parit Maimon.
Sumber: Harian Metro
