Telefon pintar yang korang gunakan setiap hari mungkin perlu dikemas kini sekiranya mahu menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (Early Warning System – EWS) yang sedang dilaksanakan di Malaysia.
Menerusi sistem ini, orang ramai boleh menerima amaran kecemasan terus ke telefon masing-masing tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan sebarang perkhidmatan khusus.
Sebab itulah sekarang, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ajak orang ramai untuk kemas kini sistem operasi telefon masing-masing sebagai persediaan menerima amaran berkenaan.
Tak Perlu Muat Turun Aplikasi, Ini Keperluan Telefon Untuk Terima Amaran EWS
Untuk pengetahuan korang, EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) bagi membolehkan amaran kecemasan dihantar secara serentak kepada telefon mudah alih dalam kawasan geografi yang dikenal pasti.
Menariknya, pengguna tidak perlu memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan sebarang perkhidmatan khusus untuk menerima amaran tersebut.

Untuk menerima amaran EWS, pengguna perlu memastikan telefon masing-masing memenuhi keperluan minimum sistem operasi yang ditetapkan. Bagi pengguna Apple, peranti yang digunakan mestilah iPhone 11 dan model lebih baharu dengan iOS 27.2 atau versi terkini.
Sementara itu, pengguna Android perlu menggunakan Android 12 atau versi terkini, manakala pengguna Huawei pula perlu memastikan peranti mereka menggunakan EMUI 16 atau versi terkini.
Selain itu, pengguna turut disarankan memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia untuk peranti masing-masing, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini dan memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan, sekiranya berkenaan.
EWS Masih Dalam Fasa Ujian Teknikal
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC pada 19 November turut mengadakan sesi taklimat khas bersama Ketua-Ketua Pengarang media bagi memperkenalkan EWS, menjelaskan mekanisme penyampaian amaran serta memperkukuh kerjasama media dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat.
Sesi tersebut turut disertai demonstrasi menerusi ujian teknikal dalaman yang dijalankan di bangunan MCMC, Cyberjaya.

Menurut MCMC, aktiviti yang dijalankan pada 19 November itu merupakan ujian teknikal dalaman bagi tujuan penilaian dan penambahbaikan sistem sebagai persediaan ke arah pelaksanaan yang lebih meluas.
Bagaimanapun, pelaksanaan ujian pada skala lebih luas akan dibuat secara berfasa.
Pelaksanaan EWS ini melibatkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memperkukuh keupayaan negara menyampaikan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar.
“Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.
“EWS juga akan melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana.”
Sumber: Siaran Media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
