‘Beauty is pain’. Mungkin itulah kepercayaan segelintir pihak yang sanggup menjalani berkali-kali pembedahan asalkan nampak cantik walaupun terpaksa menanggung kesakitan.
Di Beijing, China seorang gadis yang juga personaliti media sosial sanggup melakukan lebih 60 kali pembedahan plastik untuk mendapatkan wajah persis boneka.
Menerusi laporan Harian Metro yang memetik The China Post memberitahu gadis bernama Little Z Nana berumur 15 tahun dilaporkan melakukan pembedahan plastik pada wajahnya itu sejak berusia 13 tahun.
Apa yang mengejutkan adalah kesemua pembedahan itu telah memakan belanja sebanyak 1 juta Yuan bersamaan RM607,734. Banyak gila!
Nana menyatakan sudah menjalani enam prosedur pembedahan plastik di bahagian kelopak mata, lima kali pada sudut mata luar, tiga kali sedut lemak dan sekali pembedahan pengurangan tulang di seluruh wajah.
Selain itu, dia juga melakukan dua kali pembedahan sedut lemak di wajahnya dan paha manakala tiga lagi prosedur di bahagian mulut.
Pendedahan ini dilakukan untuk berkongsi kisahnya dengan 300 ribu pengikutnya di akaun media sosial Weibo miliknya.
Ingin puaskan hati sendiri, bukan untuk cantik semata-mata – Nana
Dia memberitahu bahawa, apa yang dilakukannya ini bukan semata-mata untuk kelihatan cantik malah ingin memuaskan hati sendiri.
“Jangan sangka saya melakukan pembedahan ini untuk mendapatkan wajah yang cantik semata-mata”
“Sebaliknya, saya sanggup laburkan wang untuk melakukannya bagi menggembirakan diri dan mendapat keyakinan”
Dalam perkongsian itu, dia juga mengaku sudah tidak bersekolah untuk tempoh yang lama kerana masalah kesihatan akibat kesan pembedahan plastik.