Imej Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) boleh dipertingkat seiring dengan pasukan keselamatan lain menurut kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Tambahnya lagi, latihan selain pengetahuan mengenai undang-undang akan turut diberikan kepada anggota RELA dalam usaha mengangkat peranan jabatan berkenaan yang telah ditubuhkan pada 3 Julai 1972 tersebut.
Difahamkan, perkara tersebut telah dibawa ke mesyuarat Kabinet dan bersetuju untuk tempatkan anggota RELA di sempadan seluruh negara.

“Saya sebagai menteri fikir mahu naikkan imej RELA bukan setakat jaga trafik dan kenduri kahwin, tetapi juga jaga keselamatan negara”
Ketika ini, terdapat 1,000 anggota RELA yang bertugas di sempadan apabila bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am dan kesemua anggota diberikan latihan.
Perkara tersebut telah disampaikan oleh Hamzah pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Ketua Perhubungan RELA Kawasan dan Ketua Platun RELA kepada 113 orang anggota di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Jalan Duta baru-baru ini.

Menurut Ketua Pengarah RELA, Datuk Yahya Sulaiman berkata, sehingga kini terdapat 150,000 anggota RELA yang berdaftar dan daripada jumlah tersebut, 45,000 orang terlibat dalam penugasan tetap di seluruh negara.
Tambahnya lagi, bagi persediaan dan penugasan bagi menghadapi banjir, lebih 4,300 anggota akan dikerahkan ke seluruh negara bagi membantu agensi-agensi keselamatan lain selain melakukan kawalan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Difahamkan, RELA sudah bersedia untuk menghulurkan bantuan dalam menghadapi musim banjir dan mereka lebihkan tenaga manusia bagi memastikan keselamatan di PPS terjamin, sekali gus memudahkan penyelarasan anggota.
Sumber : Berita Harian

