Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperkukuh tadbir urus dan pematuhan percukaian dalam kalangan Institusi, Organisasi dan Tabung (IOT) melalui pelaksanaan Sesi Libat Urus Strategik HASiL Bersama IOT Tahun 2026 yang dilaksanakan secara berperingkat di enam zon di seluruh negara.
Inisiatif ini memberi tumpuan kepada peningkatan kefahaman IOT berhubung keperluan percukaian, khususnya berkaitan permohonan, pematuhan syarat kelulusan serta pendigitalan urusan percukaian di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Dua siri sesi libat urus telah berlangsung dengan sambutan yang menggalakkan. Siri pertama bagi Zon Tengah telah diadakan pada 31 Julai 2026 di Menara HASiL, Cyberjaya, dengan penyertaan seramai 277 orang peserta. Siri kedua bagi Zon Utara pula telah diadakan pada 18 Ogos 2026 di Menara HASiL Pulau Pinang, dengan penyertaan seramai 125 orang peserta.
Dalam ucapan pada sesi Zon Utara, YBrs. Puan Rosnita Ahmad, Ketua Pegawai Dasar Percukaian HASiL, menekankan kepentingan sesi libat urus ini sebagai platform untuk memperkukuh kerjasama strategik antara HASiL dengan IOT serta meningkatkan kefahaman berkaitan pengurusan percukaian di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967.
Beliau turut menyeru IOT agar terus memperkukuh aspek tadbir urus, integriti dan akauntabiliti, selain memanfaatkan kemudahan digital yang disediakan oleh HASiL bagi memudahkan pengurusan dan pematuhan urusan percukaian.
Selain penyampaian taklimat, peserta turut diberi ruang untuk berinteraksi secara langsung melalui sesi soal jawab serta mengemukakan pertanyaan dan pandangan berhubung isu percukaian yang dihadapi.
Sesi libat urus ini akan diteruskan di Zon Pantai Timur, Zon Selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak seperti yang berikut:
| Bil. | Zon | Tarikh | Lokasi |
|---|---|---|---|
| 1. | Zon Pantai Timur | 20 Ogos 2026 | HASiL Pahang |
| 2. | Zon Selatan | 27 Ogos 2026 | HASiL Johor |
| 3. | Zon Sabah | 10 September 2026 | HASiL Sabah |
| 4. | Zon Sarawak | 24 September 2026 | Akademi Percukaian Malaysia, Kuching |
IOT yang berminat untuk menyertai sesi libat urus yang akan datang boleh membuat pendaftaran melalui portal rasmi HASiL menerusi pautan yang disediakan.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi kami menerusi:
a) Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL.
