Persidangan Percukaian Kebangsaan Ke-26 (NTC 2026) anjuran bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dan Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM) kembali menjadi platform strategik bagi perkongsian kepakaran serta perbincangan mengenai perkembangan semasa dan hala tuju sistem percukaian negara.

Sejak lebih dua dekad penganjurannya, persidangan ini terus berperanan sebagai wadah yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam komuniti percukaian bagi bertukar pandangan serta memperkukuh kerjasama dalam menghadapi perubahan landskap percukaian.
NTC 2026 berjaya menghimpunkan hampir 2,000 peserta secara fizikal dan dalam
talian yang terdiri daripada pembuat dasar, pengamal percukaian, badan profesional
serta ahli akademik seluruh negara.
Persidangan edisi ke-26 kali ini mengangkat tema “Percukaian Masa Hadapan: Memacu Kepercayaan, Ketelusan dan Transformasi” yang menekankan keperluan sistem percukaian negara untuk terus berkembang seiring perubahan ekonomi, teknologi serta persekitaran global yang dinamik.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Seri Amir HamzahAzizan, Menteri Kewangan II di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut hadir ialah YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan: YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota Lembaga HASiL: YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL: Encik Alan Chung, Presiden CTIM serta barisan kepimpinan HASiL dan CTIM.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Menteri Kewangan II berkata sistem percukaian yang berkesan bukan sekadar berperanan sebagai mekanisme kutipan hasil, malah menjadi asas kepada pembinaan kepercayaan, kestabilan ekonomi dan daya saing sesebuah negara.

Menurut beliau, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada separuh pertama 2026, manakala kedudukan negara dalam World Competitiveness Ranking 2026 meningkat ke tangga ke-15 dunia, membuktikan keyakinan terhadap keupayaan Malaysia dalam menghadapi perubahan ekonomi global.
Sementara itu, HASiL terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan negara apabila merekodkan kutipan cukai langsung tertinggi dalam sejarah berjumlah RM203.991 bilion bagi tahun 2025. Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan HASiL dalam memastikan budaya pematuhan cukai yang kukuh melalui pendekatan perkhidmatan, pendigitalan dan pengurusan hasil yang berkesan.
Sepanjang dua hari persidangan, peserta mengikuti sesi perbincangan melibatkan pelbagai isu percukaian semasa termasuk harga pindahan, insentif cukai, daya saing serantau dan perkembangan percukaian antarabangsa.

Dalam pada itu, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL berkata transformasi sistem percukaian negara kini dipacu oleh perkembangan teknologi, penggunaan data dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh pematuhan dalam kalangan pembayar cukai.
Melalui perkongsian antara pihak kerajaan, industri dan komuniti percukaian, penganjuran NTC 2026 diharap dapat memperkukuh usaha membangunkan sistem percukaian negara yang lebih responsif, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi kami menerusi:
- Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000
(Luar Negara) - HASiL Live Chat
- Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
