in

Graduan Tengah Cari Kerja? Lebih 8,000 Jawatan Dengan Gaji Hingga RM17,000 Ditawarkan Di Career Fair Ini

Lm Featured Image 900 X 550 Px 2160 X 1080 Px 23

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kalau korang tengah cari kerja atau baru nak mulakan kerjaya selepas tamat belajar, mungkin ini peluang yang korang tak nak lepaskan.

National Graduate Career Fair 2026 bakal menawarkan lebih 8,000 peluang pekerjaan daripada 200 majikan, dengan gaji yang ditawarkan antara RM3,000 hingga RM17,000.


Karnival kerjaya berskala nasional ini akan berlangsung pada 3 dan 4 Oktober 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Lebih 200 Majikan Sertai, Ada Nama-Nama Besar

Whatsapp Image 2026 09 30 At 3.52.14 Pm

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kenyataan berkata, antara majikan utama yang mengambil bahagian termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Selain itu, Malaysia Airports Holdings Berhad, Prasarana Malaysia Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) turut menawarkan peluang pekerjaan kepada pengunjung.

Menariknya, peluang pekerjaan yang disediakan bukan tertumpu kepada satu bidang sahaja.

Antaranya termasuk sektor maklumat dan komunikasi, kewangan, pembuatan, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal, pengangkutan dan penyimpanan serta kesihatan dan kerja sosial.

“Menerusi karnival ini, graduan dan pencari kerja berpeluang bertemu secara terus dengan majikan, meneroka bidang kerjaya yang bersesuaian serta mendapatkan panduan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.”

 Lebih Separuh Jawatan Tawarkan Gaji Lebih RM3,000

Bagi korang yang risau tentang gaji permulaan, lebih separuh atau 52.91 peratus daripada keseluruhan kekosongan yang ditawarkan menyediakan gaji melebihi RM3,000 sebulan.

Sebagai contoh, jawatan Eksekutif Akaun menawarkan gaji bermula sekitar RM3,000, manakala jawatan tertentu seperti Pengurus IT pula boleh mencecah sehingga RM17,000 sebulan.

“Jadi, karnival ini bukan sekadar memberi peluang kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan pertama, tetapi turut membuka akses kepada pekerjaan yang mempunyai potensi pendapatan dan perkembangan kerjaya yang lebih baik.”

Bukan Sekadar Hantar Resume, Boleh Jumpa Majikan Depan-Depan

Apa yang menarik, National Graduate Career Fair 2026 menggunakan konsep “walk-through career experience”.

Menerusi konsep ini, graduan dan pencari kerja boleh bergerak dari satu majikan ke satu majikan untuk mengenal pasti kekosongan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka.

Pada masa sama, korang juga boleh berinteraksi secara langsung dengan wakil industri.

Bukan itu sahaja, peserta turut boleh mendapatkan semakan resume profesional dan khidmat kaunseling kerjaya.

Perkhidmatan ini boleh membantu pencari kerja mengenal pasti kekuatan masing-masing, memperkemas strategi mencari kerja dan membuat persediaan sebelum berhadapan dengan majikan.

Menurut PERKESO, pendekatan tersebut diharap dapat menghubungkan bakat yang sedang mencari peluang dengan keperluan sebenar industri, sekali gus membantu mengurangkan jurang antara kelayakan graduan dan permintaan pasaran pekerjaan.

Nak Pergi? Ini Cara Untuk Daftar

National Graduate Career Fair 2026 akan dibuka dari 9.00 pagi hingga 4.30 petang.

Bagi graduan dan pencari kerja yang berminat, pendaftaran boleh dibuat menerusi portal MYFutureJobs di www.myfuturejobs.gov.my/careerfair](http://www.myfuturejobs.gov.my/careerfair.

Maklumat lanjut mengenai National Graduate Career Fair 2026 juga boleh didapati menerusi portal berkenaan.

PERKESO menggalakkan graduan dan pencari kerja untuk hadir, khususnya mereka yang sedang mencari pekerjaan, mahu meneroka bidang kerjaya baharu atau ingin mendapatkan pekerjaan yang lebih sepadan dengan kelayakan serta kemahiran mereka.

Jadi, kalau korang memang tengah cari kerja, bolehlah masukkan 3 dan 4 Oktober dalam kalendar dan singgah ke KLCC.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.