Selama ini, isu perlindungan pekerja sering menjadi perhatian apabila berlaku kemalangan atau kejadian tidak diingini, tapi macam mana pula kalau pekerja sendiri sebenarnya tidak dilindungi hanya kerana majikan gagal menunaikan tanggungjawab?
Perkara ini nampaknya masih berlaku apabila Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mendedahkan seramai 10,033 majikan pekerja domestik dikenal pasti belum menunaikan kewajipan mendaftar dan membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Lebih mengejutkan, angka itu turut melibatkan 864 individu berprofil tinggi termasuk VVIP yang masih belum melunaskan tanggungjawab tersebut.
Bukan Orang Biasa Sahaja, Individu Berprofil Tinggi Pun Ada Yang Tak Bayar

Pendedahan itu dibuat Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan ketika sidang media Penyerahan Faedah PERKESO kepada Mangsa Bencana Banjir Nepal di Menara PERKESO, Kuala Lumpur, pada 4 November lalu.
Menurut beliau, antara individu yang dikenal pasti termasuk ahli politik serta mereka yang memegang jawatan tinggi dalam sektor awam dan swasta.
Malah, ketika ditanya pemberita sama ada terdapat individu yang mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada menteri turut gagal membayar caruman.
Bagaimanapun, Ramanan menegaskan beliau tidak berniat untuk memalukan mana-mana pihak atau mendedahkan nama individu terbabit, sebaliknya mahu semua majikan tampil menyelesaikan tanggungjawab masing-masing.
“VIP pun tak bayar, ahli politik pun ada yang tak bayar, ada yang memegang jawatan tinggi di sektor awam dan swasta pun tak bayar.”
26,669 Pekerja Domestik Turut Terjejas
Dalam perkembangan lain Ramanan turut memaklumkan, sektor domestik seperti pembantu rumah, pemandu, tukang kebun dan penjaga warga emas atau kanak-kanak turut terjejas apabila majikan terus culas melaksanakan caruman kepada pekerja.
Menurutnya, golongan ini juga terdedah kepada risiko kemalangan dan kejadian tidak diingini seperti pekerja dalam sektor lain.
Ramanan berkata, seramai 26,669 pekerja domestik dikenal pasti mempunyai isu berkaitan pembayaran caruman yang memerlukan tindakan susulan.
Beliau turut mengingatkan majikan supaya tidak hanya mengambil serius soal perlindungan sosial apabila sesuatu kejadian buruk sudah berlaku.
“Saya cuma minta bayaran itu dibuat. Lihatlah keadaan hari ini. Sedih bagi saya, saya lihat macam ni. Dah mereka hilang ahli keluarga,kalau mereka ada apa-apa tanggungan, siapa nak pantau mereka?”
7 Disember Jadi Tarikh Akhir Atau Dikenakan Tindakan Undang-Undang
Susulan pendedahan itu, Ramanan berkata beliau sudah mengarahkan PERKESO supaya memberi tempoh sehingga 7 Disember 2026 kepada semua majikan terlibat untuk menyelesaikan tunggakan dan memenuhi kewajipan caruman masing-masing.
Beliau turut menegaskan bahawa tempoh berkenaan merupakan tarikh akhir dan tiada kompromi akan diberikan kepada majikan yang masih gagal mematuhi peraturan.
Malah, ketika ditanya mengenai tindakan terhadap majikan yang masih gagal membuat bayaran selepas tempoh tersebut, beliau menegaskan:
“7 Disember, yes. Final, last, no compromise, okay?”
Menurut beliau, kegagalan membayar caruman boleh menyebabkan majikan berdepan tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM10,000, hukuman penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan.
Namun, Ramanan menjelaskan bahawa tujuan utama tindakan tersebut bukanlah untuk menghukum atau mengenakan denda semata-mata, sebaliknya memastikan setiap pekerja mendapat perlindungan sosial yang sewajarnya.
Beliau turut menyeru semua majikan supaya segera menyemak status pendaftaran dan caruman pekerja domestik masing-masing sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
Sumber: Sidang Media Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan
