Walaupun dah beberapa minggu ditayangkan di Netflix, siri Squid Game masih lagi menduduki carta pertama Top 10 filem popular di Malaysia. Selain di negara ini, siri dari Korea Selatan ini juga menjadi fenomena di beberapa negara lain.
Walau bagaimanapun, portal Metro UK melaporkan, ibu bapa di negara itu kini digesa untuk memerhatikan tabiat anak mereka susulan terdapat beberapa kejadian di negara lain dimana kanak-kanak melakonkan semula beberapa babak dalam siri terbabit.
Difahamkan, satu insiden berlaku di sebuah sekolah di Belgium pada minggu lalu dimana murid-murid seawal usia 11 tahun dilihat melakonkan semula babak permainan Red Light, Green Light dan bertindak ganas ‘menghukum’ mana-mana pemain yang kalah.
Untuk pengetahuan, dalam episod pertama Squid Game, para peserta akan bermain permainan Red Light, Green Light yang hampir sama dengan permainan kanak-kanak ‘What’s the time Mr Wolf?’. Cuma dalam siri Netflix ini, mana-mana pemain yang ditangkap bergerak masa ‘wolf’ pusing ke belakang akan ditembak mati.
Memetik laporan media tempatan, seorang murid perempuan mendedahkan dia pernah menjadi saksi dimana dia melihat seorang rakan sekelas ditolak ke tanah, dipukul dan disebat hanya kerana ditangkap bergerak pada masa tak sepatutnya ketika bermain permainan ini. Akibatnya, rakan sekelasnya itu mempunyai beberapa lebam di bahagian tangan.
Meskipun masih belum ada laporan mengenai keganasan di Britain akibat melakonkan semula babak-babak permainan dalam Squid Game, ramai guru menyuarakan kerisauan kerana kanak-kanak yang terlalu muda telah didedahkan dengan aksi ganas.
Malah, untuk menangani masalah ini, ada sekolah yang sanggup mengadakan kelas tambahan untuk kanak-kanak berusia 8-10 tahun mengenai bahaya menonton konten yang tidak sesuai dengan umur mereka.
Tidak cukup dengan itu, ibu bapa juga diminta agar memantau aktiviti anak-anak mereka untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Sumber: Metro UK
Baca: “Patung ni wujud gais” – Patung Menakutkan Dalam ‘Squid Game’ Sebenarnya Ada Di Sebuah Kampung