Baru-baru ini, Korea Selatan digegarkan dengan kes kehilangan beberapa individu yang kesemuanya ditemukan meninggal dunia di Pulau Jeju. Lebih menggemparkan, penemuan mayat ini telah membongkarkan salah laku dan cubaan menutup kes oleh pihak polis.
Insiden bermula apabila empat mayat individu yang pernah dilaporkan hilang ditemukan dalam tempoh hanya tiga hari.
Memetik laporan media tempatan Korea, pegawai polis berkenaan dipercayai menutup kes orang hilang dengan memalsukan rekod serta memberitahu keluarga bahawa beliau telah menghubungi individu berkenaan, walaupun siasatan kemudian mendapati tiada rekod komunikasi seperti yang didakwa.
Kes itu mula terbongkar selepas keluarga seorang wanita berusia 37 tahun, Jang Mi-ran, mempersoalkan tindakan polis terhadap laporan kehilangannya yang dibuat pada Mei lalu.

Kronologi kes Jang Mi-ran
Jang dilaporkan hilang pada 15 Mei selepas teman lelakinya membuat laporan kepada polis.
Namun, pegawai yang mengendalikan kes tersebut yang dikenali sebagai Bu didakwa memberitahu teman lelaki Jang pada hari sama bahawa beliau telah menghubungi wanita itu dan mendapati Jang selamat serta tidak mahu lokasinya diketahui keluarga.
Bagaimanapun, semakan rekod komunikasi mendapati tiada rekod panggilan antara pegawai berkenaan dengan Jang, sekali gus menimbulkan syak bahawa maklumat tersebut telah direka untuk menutup kes berkenaan.
Keluarga Jang kemudian membuat laporan kehilangan kali kedua pada 19 Julai, menyebabkan pihak berkuasa membuka semula siasatan.
Pada Isnin, polis akhirnya menemukan mayat yang dipercayai milik Jang di Hallim-eup, Jeju, kira-kira 104 hari selepas dia dilaporkan hilang.
Lebih memilukan, mayat Jang sebenarnya ditemui hanya 400 meter dari tempat penginapannya, dan polis didakwa terlambat menyemak rakaman CCTV hingga menyebabkan sebahagian bukti terpadam.

Artikel berkaitan: Pempengaruh Korea M*ti Lepas Buat ‘Live’ Di TikTok, Mayat Ditemui Di Kawasan Gunung
Artikel berkaitan: Tersenarai Sebagai Orang Hilang Sejak 2019, Wanita Akhirnya Ditemui Selamat Di Langkawi Rupanya…
Dua lagi mayat ditemui
Pada hari sama, satu lagi mayat dipercayai milik individu yang dilaporkan hilang ditemukan berhampiran kawasan lembah di Aewol-eup, Jeju City kira-kira jam 9.35 pagi.
Pada Ahad lepas, mayat seorang lelaki dipercayai berusia 70-an ditemukan di perairan berhampiran Sinheung-ri, Jocheon-eup, kira-kira jam 3.04 petang.
Satu lagi kes orang hilang turut dipalsukan
Siasatan terhadap pegawai terbabit kemudian mendapati beliau dipercayai turut menutup satu lagi kes kehilangan melibatkan seorang lelaki berusia 60-an.
Lelaki itu dilaporkan hilang pada 2 Julai, namun pegawai berkenaan didakwa memalsukan rekod dengan menggunakan taktik yang sama.
Keluarga lelaki berkenaan membuat laporan kehilangan kali kedua pada Jumaat, sebelum polis melancarkan operasi mencari dan menemukan mayatnya sehari kemudian.

Siasatan lanjut mendapati pegawai terbabit dipercayai telah menutup lebih 200 kes orang hilang secara tidak wajar sepanjang kira-kira 17 bulan bertugas di unit orang hilang Balai Polis Jeju Seobu.
Skandal ini mencetuskan kemarahan hebat hingga Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, sendiri masuk campur dan mengarahkan siasatan menyeluruh serta semakan semula terhadap lebih 92,800 kes kehilangan yang pernah ditutup di Seoul, antara Januari 2024 hingga bulan ini.
Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Agensi Polis Negara juga sudah tampil memohon maaf secara terbuka susulan isu tersebut.
Pegawai polis terbabit kini ditahan atas dakwaan mengabaikan tugas, memalsukan dan menggunakan rekod elektronik rasmi yang dipalsukan.
Dalam pada itu, seluruh negara mendesak agar reformasi institusi polis dilakukan segera demi keadilan para mangsa.
Sumber: Sinar Harian
