Mesti ramai yang biasa dengar nama ‘The Inside Scoop’, lagi-lagi di kalangan mereka penggemar aiskrim.
Farm Fresh Berhad (FFB) telah memeterai perjanjian pembelian saham dengan vendor The Inside Scoop Sdn Bhd (TISSB) untuk cadangan pengambilalihan 462,739 saham biasa yang tersedia dalam TISSB.
Dalam sebuah makluman FFB kepada Bursa Malaysia berkata, pengambilalihan itu mewakili 53 peratus daripada saham terbitan yang diperbesarkan dalam TISSB yang membabitkan pertimbangan pembelian keseluruhan lebih kurang RM68.4 juta, tertakluk kepada pelarasan.

Menurut Berita Harian, FFB juga memeterai perjanjian langganan saham dengan TISSB bagi cadangan langganan 104,711 saham baharu TISSB, mewakili 12 peratus daripada saham terbitan diperbesarkan dalam TISSB dengan jumlah pertimbangan langganan sebanyak RM15.5 juta berdasarkan terma dan syarat perjanjian.
Setelah cadangan itu dimuktamadkan, TISSB akan menjadi anak syarikat 65 peratus milik FFB manakala baki 35 kepentingan ekuiti dalam TISSB akan dipegang oleh Edmund Tan, salah satu vendor.

“Menurut perjanjian pemegang saham, FFB akan memberikan Tan hak bagi meminta FFB membeli daripadanya, apabila berlaku mana-mana peristiwa pencetus pada bila-bila masa semasa tempoh opsyen dibuat, baki saham TISSB yang dipegang oleh Tan,” katanya.
Cadangan tersebut sekali gus akan membuka jalan bagi kemasukan serta pemilikan kumpulan dalam salah sebuah syarikat aiskrim istimewa yang paling pesat berkembang dan rangkaian aiskrim buatan sendiri yang terbesar di Malaysia.
Sumber: Berita Harian
Baca : “From Bazaar to Bursa” – Farm Fresh Lakar Sejarah, Berjaya Tersenarai Bursa Malaysia Mulai Hari Ini

