Industri pelancongan Selangor terus mempamerkan prestasi luar biasa apabila berjaya merekodkan kedatangan seramai 8.42 juta pelancong sepanjang tahun 2025.
Jumlah tersebut disumbangkan oleh 68% pelawat domestik dan 32% pelawat antarabangsa, dengan pelancong China kekal sebagai penyumbang terbesar sebanyak 24.1%, diikuti rapat oleh Singapura (13.4%) dan Indonesia (6.7%).

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling memaklumkan bahawa kejayaan ini merupakan hasil usaha bersepadu daripada semua rakan industri, pengamal media, serta pencipta kandungan (content creator) dalam mempromosikan kempen Tahun Melawat Selangor 2026 (TMS2026).
Penghargaan tersebut dizahirkan dalam satu majlis santai Media & Influencers Hi-Tea 2026 yang berlangsung di Sunseed Green Wellness Bistro @ JAM PJ.

Artikel berkaitan: Sultan Selangor Perkenan Solat Jumaat Di IOI City Mall
Artikel berkaitan: 5 Sebab Malaysia Berjaya Tandingi Thailand Sebagai Destinasi Paling Ramai Pelancong Di Asia Tenggara
Selain itu, keberkesanan strategi pemasaran Tourism Selangor turut mendapat pengiktirafan di peringkat nasional apabila kempen Tahun Melawat Selangor 2025 merangkul Gold Award for Best Use of Content di Malaysia Public Relations Awards 2025.

Bagi merancakkan lagi sektor ini, Tourism Selangor bakal menganjurkan pameran pelancongan Selangor Travel Fair 2026 edisi ketiga pada 25 dan 26 Julai bertempat di Pasar Seni (Central Market), Kuala Lumpur.
Pameran ini mendapat sokongan padu daripada Farm Fresh selaku penaja utama dan rakan strategik, di samping rakan kerjasama lain seperti AVIS Budget Malaysia, Tourism Malaysia Wilayah Tengah, PADAT, Media Selangor, serta Batik Air demi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Acara yang menyasarkan kehadiran lebih 40,000 pengunjung ini akan menampilkan 35 pempamer yang menawarkan pelbagai produk pelancongan menarik, penginapan, dan pakej percutian di sekitar Selangor.
Sumber: Tourism Selangor
