Hujan lebat yang berterusan petang Rabu menyebabkan beberapa kawasan sekitar Shah Alam dan Klang dilanda banjir kilat, malah keadaan itu turut menjejaskan pergerakan pengguna jalan raya.
Menerusi beberapa perkongsian di aplikasi Threads, beberapa laluan utama dilaporkan mula dinaiki air sehingga menyebabkan kenderaan terpaksa bergerak perlahan.
Artikel berkaitan : Musim Tengkujuh: Ada Insurans Komprehensif Pun Belum Tentu Kereta ‘Cover’ Banjir
Artikel berkaitan : “Perbuatan tak berperikemanusiaan” – Polis Nepal Tahan 2 Lelaki Curi Barang Kemas M*yat Ketika Banjir
Antara kawasan yang terjejas termasuk sekitar Seksyen 7 dan Desa Alam, Shah Alam, selain laluan dari Klang menghala ke Shah Alam serta kawasan Bandar Baru Klang.
Dalam satu hantaran, seorang pengguna Threads memaklumkan keadaan banjir di laluan dari Klang menghala ke Shah Alam dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif menghala ke Bandar Baru Klang.


Sementara itu, satu lagi perkongsian menunjukkan laluan dari pusat bandar raya Shah Alam menghala ke Seksyen 7 turut dinaiki air. Rakaman yang dikongsikan memperlihatkan keadaan jalan yang digenangi air ketika hujan lebat, sehingga jarak penglihatan pengguna jalan raya turut terjejas.
Turut dikongsikan gambar dari kawasan berhampiran Desa Alam yang menunjukkan air bertakung di laluan berdekatan kawasan perindustrian. Kira-kira jam 4.40 petang, satu lagi hantaran memaklumkan keadaan banjir di laluan berhampiran Seksyen 7 dan Desa Alam.

Malah, kawasan parkir Jabatan Hubungan Antarabangsa UiTM Shah Alam juga dilaporkan dinaiki air. Beberapa gambar dan rakaman yang tular di media sosial turut menunjukkan kenderaan bergerak perlahan ketika melalui jalan yang dinaiki air.
Bagaimanapun, kedalaman air serta jumlah sebenar kawasan yang terjejas masih belum dapat disahkan setakat ini. Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam kenyataan ringkas memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang panggilan berkaitan kejadian banjir kilat buat masa ini.
Sumber : Sinar Harian
