Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ternyata membawa berita baik kepada mereka yang bekerja dengan gaji yang rendah.
Menurut Astro AWANI, kerajaan akan menaikkan gaji minimum dari RM1,100 sebulan kepada RM1,200 sebulan berkuatkuasa tahun 2020.
Ketika membentangkan Belanjawan 2020 hari ini di Dewan Rakyat, beliau berkata, kenaikan tersebut walau bagaimanapun hanya untuk di wilayah bandar utama sahaja.
“Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menambah baik kehidupan rakyat, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.
Justeru, bagi mengimbangi keperluan pekerja dan majikan dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup di bandar-bandar utama, Kerajaan mencadangkan supaya gaji minimum ditingkatkan pada kadar RM1,200 sebulan hanya di wilayah bandar-bandar utama berkuat kuasa pada tahun 2020,” katanya.
Kerajaan akan tambah baik syarat-syarat pekerjaan untuk pekerja
Selain dari mewujudkan peluang pekerjaan baharu, kerajaan juga akan meneruskan usaha untuk memodenkan pasaran buruh negara dengan menambah baik syarat-syarat pekerjaan untuk pekerja.
Menurut Guan Eng, kerajaan juga akan meneliti semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan akta tersebut kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.
Antara perkara lain yang akan dikaji semua termasuklah:
- Naikkan tempoh cuti bersalin kepada 90 hari bermula 2021.
- Memanjangkan kelayakan bayaran lebih masa kepada golongan berpendapatan kurang RM4,000.
- Menambah baik pengendalian aduan gangguan seksual dari segi perlindungan dan prosedur
- Memantapkan peruntukan berkaitan larangan diskriminasi dalam pekerjaan contohnya agama, kaum atau jantina