Gara-gara berposing sambil tersenyum ketika menatap sebuah buku, seorang bintang TikTok India dijadikan bahan troll dan kecaman netizen.
Tiada apa yang tidak kena dengan gaya posingnya. Jannat Zubair Rehmani kelihatan cantik dan bersahaja. Namun tersenyum ceria ketika menatap buku bertajuk The Diary Of A Young Girl — buku yang mengisahkan secara terperinci peristiwa holocaust menerusi kaca mata seorang mangsa tragedi itu yang menimbulkan rasa kurang senang warga maya.
Foto itu dimuatnaik beliau ke dalam laman Instagramnya penghujung bulan lalu, sebelum ia mula disedari oleh pengguna Internet lain. Namun mungkin kerana menyedari ia telah menyinggung sensitiviti sesetengah pihak, Jannat kemudian segera memadamkan gambar tersebut.
Rata-rata netizen turut mempersoalkan tindakan beliau, dan tahap kepekaan serta sensitiviti bintang-bintang muda masa kini mengenai isu-isu dunia.
Ketika ditanya seorang individu di laman Instagramnya berhubung gambar tersebut, Jannat mengakui ia diambil hanya untuk tujuan bergambar semata-mata.
Kalau ada yang belum tahu, The Diary Of A Young Girl adalah tulisan Anne Frank — seorang mangsa yang merakamkan peristiwa mengerikan itu di dalam diari hariannya ketika beliau hidup dalam persembunyian selama dua tahun bersama keluarga, sewaktu Nazi Jerman bermaharajalela di Belanda.
Gambar cover buku yang dipegang Jannat itu juga diambil daripada gambar sebenar Anne Frank.