Semalam berlaku satu kemalangan maut yang amat menyayat hati di Jalan Renggam, Kluang pada jam 1.15 tengah hari, melibatkan lima buah kenderaaan.
Nahas ngeri terbabit telah meragut nyawa empat sekeluarga berpunca daripada tindakan dua beradik yang memandu dua kereta mewah secara laju dan melulu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh, hasil siasatan awal mendapati BMW yang dipandu Goh Yi Sheng, 22, dipercayai berlumba dengan sebuah Mercedes-Benz yang dipandu adiknya berusia 19 tahun dari arah Renggam menuju ke Simpang Renggam.
Dalam kejadian itu, BMW berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh empat kenderaan iaitu Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira 1.5 serta Mercedes-Benz.

“Akibat kemalangan itu, empat individu yang menaiki Toyota Vios meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
“Mangsa yang maut ialah Mohd Aiman Mohd Rashid, 36, Nor Azlina Abd Latif, 33, Semek Mat Soh, 75, dan Nur Airish Syifa Sidek, 10, yang kesemuanya beralamat di Taman Setia, Al Muktafi Billah Shah, Terengganu,” katanya.
Artikel berkaitan: Tular Video Kenari Pandu Melulu Hingga Rempuh Beberapa Kenderaan, Rupanya Pemandu Sedang…
Artikel berkaitan: Pelakon Lelaki Ditahan Polis, Pandu Kereta Secara Bahaya Hingga Kekasih Tercampak Atas Jalan

Tambahnya, pemandu BMW, Yi Sheng terbabit turut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah pada bahagian dada.
Sementara itu, lapan lagi mangsa yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang untuk mendapatkan rawatan.
Susulan nahas itu, polis telah menahan adik kepada pemandu BMW serta merampas kenderaan terbabit untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 42(1) akta sama,” katanya.
Sumber: Harian Metro, Facebook
