Macam-macam kes orang tertelan objek asing pernah dilaporkan. Dari Airpod sampailah ke berus gigi pun pernah ditelan orang. Ada yang berlaku secara sengaja sebab terlalu curious dan ada juga yang terjadi secara tak sengaja.
Lapor The Guardian, doktor di Lithuania gempar selepas mereka berjaya mengeluarkan lebih satu kilogram skru dan paku dari dalam perut seorang lelaki. Difahamkan, lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu mula menelan objek asing terbabit selepas berhenti minum minuman beralkohol.
Mangsa dilaporkan dikejarkan ke sebuah hospital di Klaipeda selepas mengadu masalah sakit perut yang teruk. Imbasan X-ray kemudiannya mendedahkan perut individu terbabit dipenuhi barangan logam dan ada di antaranya berukuran 10 sentimeter.
“Dalam pembedahan selama 3 jam itu, kami berjaya keluarkan semua objek asing termasuklah yang paling kecil dari dalam perut mangsa,” kata pakar bedah, Sarunas Dailidenas.
Gambar X-ray individu terbabit telah dikongsikan pihak hospital kepada media tempatan. Meskipun puncanya masih belum dikenal pasti, lelaki terbabit mula menelan objek besi seperti skru dan paku sejak sebulan lalu selepas berhenti minum alkohol.
Ketua pakar bedah Klaipeda Hospital, Algirdas Slepavicius berkata mangsa kini berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan. Namun, beliau menyifatkan itu adalah kali pertama pihaknya pernah melihat kes seperti itu.
Mangsa difahamkan masih lagi dirawat di hospital terbabit dan kini dipantau rapi.
Sumber: The Guardian
Baca: Terlalu Mengantuk Jadi Punca Lelaki Ini Tertelan Berus Gigi Ketika Menggosok Gigi