Zaman universiti dan kolej adalah di antara zaman yang paling indah di dalam hidup seorang remaja. Masakan tidak, remaja yang sebelum ini tinggal bersama keluarga akhirnya diberikan kebebasan untuk tinggal pula dengan rakan-rakan yang kononnya sekepala dalam satu rumah. Tapi ianya tidak sebahagia yang anda bayangkan.
Berikut antara jenis-jenis housemate yang pasti akan memeningkan kepala anda:
1) Jenis yang tak reti nak flush lepas guna tandas
Pernah tak anda melalui situasi apabila dah nak terkucil sangat-sangat tapi bila masuk tandas ternampak harta karun yang ditinggalkan teman serumah anda? Dengan rasa amarah meluap-luap di hati, anda pun terpaksalah membersihkan atau flush ‘harta karun’ teman anda tadi sambil membebel. Jenis housemate yang macam ini walaupun seratus kali anda beritahu dan ingatkan dia, dia tetap juga tak ingat! Entah apa yang difikirkan masa tengah ‘melabur’ tu. Selesai ‘melepas’ terus bangun dan keluar tandas. Pengotor punya orang!
Solusi: Mungkin anda boleh print tanda besar-besar bertulis ‘Tolong flush lepas guna!’.
2) Jenis yang ambil barang kawan tanpa kebenaran
Pagi ini anda beli satu tin biskut Danish sebagai kudapan petang ala orang British. Letak dekat dapur sekejap aje, tapi tak sampai 10 minit dah tinggal serdak serdi! Rasa mengamuk tu tak payah cakaplah. Tapi yang buat anda lebih bengang lagi ialah bila housemate anda dengan muka selamba tak tahu malu sambil senyum kambing ucap terima kasih. Walhal anda tak dengar pun yang dia ada minta kebenaran nak rasa sikit.
Solusi: Labelkan setiap barang milik anda dengan kata-kata “Ini X punya! Siapa nak sikit ringan-ringankanlah mulut minta kebenaran ye”
3) Jenis yang suka angkut kawan tumpang tidur rumah
Sejujurnya anda tidaklah begitu kejam kalau ada yang minta tumpang tidur di rumah atas alasan kena halau dengan tuan rumah atau masih mencari rumah sewa yang sesuai. Tapi yang buat anda sakit hati ialah apabila housemate anda bawa segerombolan teman-temannya yang entah dari mana datang untuk tumpang tidur dan juga buat bising sepanjang malam. Sudahlah tak reti nak mengemas lepas makan minum, tak hormat pula tu penghuni asal rumah tersebut. Kalau ada di antara teman serumah yang ada ujian atau peperiksaan esok pagi, mahu mental mereka jadinya.
Solusi: Tegur mereka baik-baik tetapi dengan nada tegas, cakap anda tak kisah jika mahu menumpang tidur tapi tolong hormat privasi penghuni rumah tetap yang lain.
4) Jenis yang pemalas tahap dewa
Ini antara masalah kronik yang dihadapi setiap housemate sedunia. Rakan serumah yang malas nak kemaskan katil lepas bangun tidur, malas nak basuh pinggan lepas makan, malas nak bersihkan tandas setiap minggu dan memang semua benda dia malas. Ada yang malas sampai nak masak makanan sendiri pun tak nak. Sanggup tunggu housemate lain masak di dapur dan masa itulah dia tersipu-sipu datang kata nak jamah sedikit.
Solusi: Pasang ceramah Ustaz Kazim Elias guna speaker yang anda beli dekat Lowyat, tentang sikap pemalas sikap yang dibenci Tuhan. Kalau tak faham juga, cuba pakai speaker masjid dan azankan telinga dia. Banyak syaitan pemalas bertenggek kat badan tu!
5) Jenis yang sentiasa diselubungi misteri
Kalau nak kenal rakan jenis macam ini, anda kenalah teliti rutin seharian mereka. Sama ada mereka ini jenis suka bersosial dengan housemate yang lain ataupun lebih suka menyendiri dalam bilik dari pagi sampailah ke malam. Entah bila dia makan dan mandi pun anda tak tahu sebab tak perasan langsung. Ini antara petanda yang anda harus bimbangkan. Dan kalau anda dah mula jumpa benda aneh seperti diari misteri dengan tulisan pelik-pelik atau terdengar housemate anda itu bercakap seorang, berhati-hatilah!
Solusi: Kalau perkara ini berlaku, adalah lebih baik anda jangan ganggu mereka dan biarkan mereka buat hal mereka sendiri. Cuma sebagai pendinding, bolehlah baca ayat-ayat Al-Quran. Tapi kalau dah terbukti mereka ada ‘membela’, eloklah anda sendiri yang angkat kaki.
6) Jenis yang suka bawa masuk boyfriend dalam rumah
Tak ada sesiapa yang nak menghalang anda bercinta dan memiliki kekasih semasa belajar di kolej. Malah kalau anda nak berdating sekalipun sampai ke tengah malam, housemate anda yang lain memang malas nak masuk campur. Tapi yang menjadi kerisauan mereka ialah apabila teman serumah gemar membawa boyfriend/girlfriend bertandang di rumah! Mana dengan nak jaga aurat dan tak kurang juga nak menahan mata tengok aksi manja mereka bersama kekasih. Bertaubatlah!
Solusi: Tegur mereka elok-elok dan beritahu yang anda tak berapa selesa dengan kehadiran kekasih mereka itu di rumah. Tapi kalau masih tak jalan juga, terpaksalah anda buat report.
7) Jenis yang suka bermuka-muka
Rakan serumah jenis ini adalah yang paling terkutuk perangainya berbanding jenis-jenis lain di atas. Housemate yang macam ini entah berapa banyak topeng yang di ada. Depan anda dia mungkin dewa malaikat ketujuh yang paling teragung, tapi di belakang anda dialah bapa kepada segala syaitan. Habis cerita luar dalam keburukan anda dia canangkan ke orang luar. Sampaikan kisah anda tertidur dengan air liur meleleh pun dia nak beritahu budak kelas sebelah. Makan hati betul kalau dapat housemate macam ini!
Solusi: Kalau bercakap dengan orang bermuka-muka ni, adalah lebih elok kalau rakamkan je setiap perbualan anda dengan dia. Kalau dia mula cerita yang bukan-bukan di belakang anda, tularkan saja rakaman suara tu. Biar dia malu!
Ada pengalaman yang lebih dasyat dari ini? Jangan malu untuk kongsikan bersama kami!