Meskipun penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-33 menerima banyak bantahan daripada rakyat Malaysia, anugerah yang berlangsung pada malam tadi itu dilihat berjalan dengan penuh lancar dan meriah sekali.
Bagaimanapun, ada isu kurang enak yang timbul semasa anugerah berprestij itu sedang berlangsung. Ketika penyampaian anugerah bagi kategori Artis Baharu Popular dilakukan, pelakon Shaheizy Sam dilihat menggantung rokok elektronik atau vape di leher.
Insiden ini membuatkan ramai penonton mempersoal kredibiliti Shaheizy Sam dan tindakan TV3 yang membenarkan perkara ini berlaku. Malah, netizen juga mempersoalkan tindakan pihak produksi TV3 yang terlepas pandang isu berat ini.
Tindakan Shaheizy Sam ini juga ditegur oleh pengendali akaun Public Health Malaysia (PHM) di laman Facebook. Dalam hantaran yang dimuat naik pada malam semalam, PHM menyifatkan tindakan mempromosikan rokok elektronik secara siaran langsung ini adalah tidak bermoral dan tidak sepatutnya ditayangkan di televisyen.
“Sedih sangat melihat budaya buruk dipromosikan sebegini. Bukan tak ada ahli produksi yang boleh menyaring penampilan selebriti sebelum live di kaca tv.”
“Usah sembang mengenai pematuhan SOP, jika promosi vape sebegini pun boleh lepas dalam tayangan siaran langsung di TV.”
Menurut satu laporan, Shaheizy Sam menerangkan bahawa dia sebenarnya terlupa untuk menanggalkan rokok elektronik kerana berada dalam keadaan kelam kabut semasa majlis tersebut dijalankan.
“Terlupa sebab kelam kabut. Memang sejak dahulu lagi, saya ke hulu ke hilir bawa banyak vape sebab bateri cepat habis”
Buat anda yang terlepas Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-33 pada malam tadi, anda boleh baca artikel di bawah untuk lihat senarai penuh pemenang.
BACA: Raih 22 Juta Undian, Haqiem Rusli Rangkul Anugerah Bintang Paling Popular