Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil tindakan pantas menggantung kerja seorang staf sebuah institusi pendidikan tinggi di bawah agensi itu hanya dalam tempoh dua jam selepas menerima aduan berhubung dakwaan kes pencabulan seksual terhadap seorang pelajar.
Pengerusi MARA, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau sendiri menerima mesej aduan daripada mangsa sebelum mengarahkan pihak pengurusan melakukan siasatan dengan kadar segera.
Artikel berkaitan: Kian Terdedah Dengan Tindakan Undang-undang, Asyraf Wajdi Cadang Gubal Akta Perlindungan Guru
Artikel berkaitan: “‘Teach You A Lesson’ versi MRSM” – Dr Asyraf Wajdi Sahkan Tiada Ruang Untuk Anak Emas & ‘Cable’!
View on Threads
“Saya terima mesej aduan daripada seorang pelajar institusi pendidikan tinggi MARA mengenai kes pencabulan seksual. Terus saya minta Pengurusan siasat.
Selepas dua jam, dimaklumkan staf terbabit digantung kerja agar siasatan segera dapat dilakukan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosialnya.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan bahawa pihak MARA tidak akan berkompromi terhadap mana-mana salah laku sedemikian dan bersedia mengambil tindakan paling tegas jika dakwaan tersebut terbukti benar.
“Tiada kompromi terhadap sebarang salah laku. Jika benar, tindakan tegas termasuk buang kerja dan laporan polis agar didakwa di bawah Kanun Jenayah,” tegasnya lagi.
Sebagai info, ini bukan kali pertama tindakan diambil berasaskan aduan terus ke akaun media sosial Dr. Asyraf. Menerusi platform seperti Facebook dan TikTok, beberapa kes lain termasuk kes buli dan masalah pengurusan di kolej/MRSM turut disiasat dan dikenakan tindakan susulan dalam tempoh masa yang sangat singkat.
Sumber: Threads
