Setiap kali menjelang hari raya, pemberian duit raya dijadikan tradisi dan budaya masyarakat di sini yang bertujuan untuk berkongsi kegembiraan kepada penerimanya.
Namun, pemberian duit raya ini sering menjadi isu yang mana masih terdapat individu yang mempertikaikan nilai duit raya yang diberikan.
Bagaimanapun, timbul pula isu lain yang mana ada segelintir ibu bapa yang tidak segan silu menagih duit raya untuk anak-anak mereka.
Artikel berkaitan: Lain Dari Yang Lain, Trend Terbaharu Bagi Duit Raya Guna ‘Mock Cheque’
Artikel berkaitan: Terkejut Anak Hanya Dapat Duit Raya RM3, Lelaki Beri ‘Nasihat’ Ini Bukan Zaman 90-an
Perkara ini dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook dan dikongsikan semula di platform X. Kata pengguna Facebook itu, dia sering menerima mesej daripada kenalan dengan menghantar kod QR bagi memudahkan pemberian duit raya dibuat secara dalam talian.
Justeru, dia meluahkan rasa kesal dengan sikap kenalannya yang meminta duit raya dan menasihati ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik kepada anak-anak.
“Maaflah kalau terasa tapi rasa apa eh spam WhatsApp hantar QR minta duit raya untuk anak? Ada yang spam berterusan setiap hari pula tu.
“Awak kalau pergi beraya rumah orang memang akan minta duit raya dengan tuan rumah ke? Duit raya ni tak perlu minta-minta, orang nak bagi dia akan bagi. Tunjuklah contoh yang baik untuk anak-anak,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ada yang turut mengalami situasi yang serupa dan pelik dengan sikap ibu bapa sebegini.
Netizen juga berkongsi ada ibu bapa yang ‘melenting’ kerana ditegur meminta duit raya anak di media sosial.
Haram orang dewasa minta duit raya
Memetik kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor, haram bagi orang dewasa atau sudah akil baligh meminta duit raya termasuk sebarang bentuk hadiah kerana ia boleh mengundang aib kepada orang yang diminta yang belum pasti mampu menunaikan permintaannya atau sebaliknya.
Bagaimanapun, meminta dibenarkan sekiranya benar-benar terdesak untuk meneruskan kehidupan.
Ramai ke kena macam ni?