in

Tak Klik Link Pun Boleh Kena Hack? Ini Ancaman Siber Yang Korang Perlu Tahu

Ana Sr 19

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pernah tak korang terfikir telefon boleh digodam walaupun tak klik sebarang pautan mencurigakan? Rupanya, perkara ini memang boleh berlaku menerusi serangan yang dikenali sebagai zero-click attack.

Menerusi teknik ini, penggodam mengeksploitasi kelemahan perisian dalam aplikasi seperti WhatsApp atau iMessage sehingga telefon boleh dijangkiti hanya dengan menerima mesej atau panggilan tertentu.


Menurut pakar keselamatan siber, Sri Utami Dewi Kasman, perisian intipan Pegasus merupakan antara contoh serangan ini yang paling terkenal, namun serangan sebegini biasanya memerlukan kos tinggi dan menyasarkan individu berprofil tinggi seperti ahli politik serta eksekutif syarikat.

“Ya, ia boleh berlaku. Tetapi bagi kebanyakan rakyat, ancaman sebenar masih bermula dengan satu klik atau satu muat turun.”

Negara Dan Rakyat Turut Menjadi Sasaran Serangan Siber

Menurut Sri Utami Dewi, ancaman siber hari ini bukan sahaja menyasarkan negara susulan pendiriannya terhadap isu geopolitik dunia, malah rakyat juga menjadi sasaran penjenayah siber yang mahu mengaut keuntungan melalui penipuan dan pencurian wang.

Jelasnya, Malaysia yang konsisten menyuarakan sokongan terhadap Palestin dan mengamalkan dasar luar bebas serta berkecuali turut berdepan risiko serangan siber susulan ketegangan geopolitik.

“Dalam konflik geopolitik hari ini, medan perang bukan lagi berlaku di sempadan sahaja. Ia berlaku di pelayan (server) kerajaan, sistem bank dan infrastruktur kritikal (NCII) kita setiap hari.”

Beliau berkata, bagi rakyat pula, ancaman paling ketara ialah penipuan dalam talian apabila kerugian meningkat daripada RM1.57 bilion pada 2024 kepada RM2.97 bilion pada 2025.

Lebih membimbangkan, sebanyak 152 akaun dibocorkan bagi setiap 100 orang di Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada penipu untuk menggunakan data peribadi bagi memperdaya mangsa.

Deepfake AI Hingga Fail APK Antara Taktik Scam Terkini

Menurut Seri Utami Dewi, antara taktik yang semakin digunakan termasuk skim pelaburan palsu yang mencatatkan kerugian sehingga RM1.46 bilion pada 2025, berbanding RM848.62 juta pada tahun sebelumnya.

Selain itu, penipu turut menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai polis, pihak bank, LHDN malah NSRC bagi menakutkan mangsa dan mendapatkan maklumat peribadi mereka.

Kecanggihan teknologi juga membuka ruang kepada penyalahgunaan Deepfake AI apabila suara ahli keluarga, majikan atau individu terkenal boleh ditiru menggunakan rakaman suara yang diperoleh daripada media sosial.

“Penjenayah siber hari ini tidak lagi menggodam sistem. Mereka menggodam emosi manusia kerana rasa takut, tamak dan kasihan.

“Orang ramai juga perlu berhati-hati dengan fail APK yang dihantar melalui WhatsApp, kononnya sebagai kad jemputan kahwin atau resit penghantaran. Fail berbahaya ini berpotensi mencuri maklumat seperti SMS dan TAC, malah membolehkan penjenayah mengawal telefon mangsa.”

Akaun Bank Digodam? Jangan Tunggu Lama, Buat Dua Perkara Ini

Dalam pada itu, Seri Utami Dewi turut menegaskan jika menyedari akaun bank atau data peribadi sudah diceroboh, tindakan pantas amat penting bagi mengelakkan kerugian lebih besar.

Beliau menyarankan orang ramai mengaktifkan fungsi Kill Switch melalui aplikasi bank untuk membekukan akaun. Jika telefon disyaki digodam, gunakan telefon lain untuk menghubungi bank atau pergi ke cawangan terdekat.

Pada masa sama, hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan transaksi mencurigakan dikesan dan disekat.

“Kill Switch menghentikan kerugian anda, 997 mengejar wang yang telah hilang. Lakukan kedua-duanya dalam masa yang sama.”

Lima Langkah Mudah Untuk Lindungi Diri Daripada Serangan Siber

Bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa serangan siber, Seri Utami Dewi menggalakkan orang ramai supaya sentiasa mengikuti perkembangan dan tips keselamatan daripada pihak bank serta NSRC.

Selain itu, pengguna perlu mengelakkan pemasangan fail APK daripada sumber tidak rasmi, mengaktifkan pengesahan dua faktor (2FA) serta menggunakan kata laluan berbeza bagi setiap akaun.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengemas kini sistem operasi telefon dan aplikasi, selain tidak mudah mempercayai panggilan atau mesej mencurigakan tanpa membuat semakan melalui saluran rasmi.

“Keselamatan siber adalah tanggungjawab bersama. Saya percaya bahawa kesedaran rakyat adalah barisan pertahanan pertama negara.”

 

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.