in

Nak Guna AI Dengan Betul & Elak Jadi Mangsa Scam, Ini 4 Fokus Utama MDKD 2026!

Ana 24

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sekarang ini, hampir semua perkara boleh dilakukan secara digital. Nak cari maklumat, siapkan tugasan, uruskan hal kerajaan mahupun berkomunikasi dengan orang lain, semuanya boleh dibuat di hujung jari.

Tapi korang tahu tak perkembangan teknologi macam Kecerdasan Buatan (AI) ini pun kita kena cara guna dengan betul, selain lebih peka terhadap risiko keselamatan ketika berada di alam digital.


Menyedari kepentingan itu, Kementerian Digital menerusi Program Minggu Digital Kementerian Digital 2026 (MDKD2026) Edisi Lembah Klang memberi tumpuan kepada empat teras utama bagi memperkasa komuniti, khususnya dalam penggunaan AI, kepercayaan digital, kesejahteraan siber serta akses kepada perkhidmatan digital kerajaan.

Program yang berlangsung di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur pada 14 November 2026 itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk memperkukuh literasi digital dan memastikan manfaat teknologi dapat dirasai masyarakat di peringkat akar umbi.

Kenali AI Dan Cara Gunakannya Dalam Kehidupan Harian

Kementerian Digital dalam satu kenyataan berkata, salah satu fokus MDKD2026 adalah memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai asas, fungsi dan aplikasi AI, termasuk teknologi AI Generatif.

Menerusi sesi perkongsian selama dua jam bersama rakan strategik komuniti, Perusahaan Sosial Pepper Labs Sdn. Bhd., pengunjung berpeluang memahami bagaimana teknologi ini berfungsi dan boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

Dsc01961 1

“CelcomDigi turut mengendalikan sesi AI Bertanggungjawab untuk Komuniti bagi memberikan pendedahan mengenai kepentingan penggunaan AI secara beretika, selamat dan bertanggungjawab.”

Lebih Peka Dengan Taktik Scam Digital

Bagi meningkatkan kesedaran mengenai perkara ini, MDKD2026 turut mengadakan Ceramah Kesedaran Penipuan Digital bersama penceramah jemputan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Dsc01941

Sesi tersebut memfokuskan kepada pengenalpastian taktik terkini penipuan dalam talian serta langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa jenayah kewangan.

Pada masa sama, pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan perlindungan data peribadi dan kepercayaan digital menerusi reruai pameran serta perkongsian daripada agensi berkaitan.

Ibu Bapa Pun Kena Celik Digital, Bukan Anak Sahaja!

Dsc01939

Menurut Kementerian Digital, MDKD2026 turut mengetengahkan sesi Keibubapaan Pintar di Era Digital bersama Pepper Labs Sdn. Bhd.

“Perkongsian tersebut memberi tumpuan kepada peranan ibu bapa dalam membimbing anak-anak menggunakan teknologi dan persekitaran digital secara selamat serta seimbang.”

Malah, pengunjung turut berpeluang mengenali penyelesaian digital berasaskan AI untuk menyokong perkembangan komunikasi kanak-kanak.

Mudahkan Urusan Dengan Perkhidmatan Digital Kerajaan

Selain meningkatkan pengetahuan mengenai teknologi, MDKD2026 turut memberi perhatian kepada usaha memperluas akses masyarakat terhadap perkhidmatan digital kerajaan.

Menerusi penyertaan pelbagai agensi termasuk Jabatan Digital Negara (JDN), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), GovTech Malaysia dan MyDIGITAL Corporation, pengunjung berpeluang mendapatkan penerangan mengenai pelbagai inisiatif serta kemudahan digital yang disediakan kerajaan.

Antaranya termasuk Portal MyGovernment dan Aplikasi MyGOV Malaysia, selain pendedahan mengenai identiti digital, teknologi 5G serta pelbagai kemudahan berkaitan pendigitalan.

Pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat mengenai pendigitalan perniagaan, program pembangunan kemahiran AI, pendidikan kewangan dan pengurusan kredit serta perkhidmatan kebajikan masyarakat.

Manfaat Pendigitalan Perlu Dirasai Rakyat Di Peringkat Akar Umbi

Dsc01987 1

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar berkata, agenda pendigitalan negara hanya akan bermakna sekiranya manfaatnya benar-benar dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau turut menambah bahawa pendedahan kepada AI dan amalan keselamatan digital yang betul merupakan asas penting bagi membolehkan komuniti memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan hidup serta meneroka peluang ekonomi.

Selain pengisian berkaitan teknologi dan literasi digital, MDKD2026 Edisi Lembah Klang turut menyediakan pelbagai aktiviti untuk masyarakat daripada pelbagai peringkat umur.

“Kerajaan MADANI melalui Kementerian Digital komited untuk terus memperluas akses kepada pengetahuan dan kemahiran digital melalui pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat.

“Usaha ini penting bagi memastikan rakyat bukan sahaja mampu menggunakan teknologi, malah mempunyai kefahaman dan keyakinan untuk memanfaatkannya secara selamat, beretika dan bertanggungjawab dalam menyokong aspirasi Malaysia menuju ke arah Negara AI 2030.”

Sumber: Siaran Media Kementerian Digital

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.