Berita baik buat rakyat Malaysia! Urusan kerajaan kini menjadi semakin mudah dan pantas apabila Kementerian Digital melalui GovTech Malaysia secara rasmi melancarkan kemas kini terbaharu bagi aplikasi MyGOV Malaysia versi 2.1.4.
Sekarang korang tak payah nak beratur panjang, sebab aplikasi terkini ada pelbagai penambahbaikan ciri dan fungsi baharu diperkenalkan bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih lancar dan mesra rakyat.
Boleh Renew Pasport Secara Online
Antara penambahbaikan utama yang paling mencuri tumpuan dalam versi baharu ini ialah penyediaan perkhidmatan pembaharuan pasport secara terus menerusi aplikasi tersebut.
Melalui kemudahan ini, pengguna boleh mengisi permohonan pembaharuan pasport, membuat pembayaran secara dalam talian, serta memilih pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tujuan pengambilan pasport dengan lebih pantas.
Walau bagaimanapun, bagi fasa awal pelaksanaan, kemudahan pengambilan pasport ini hanya disediakan di Pejabat Imigresen Shaftsbury, Putrajaya sahaja.
Pihak JIM akan memperluaskan lokasi pengambilan lain secara berperingkat bagi meningkatkan akses dan kemudahan kepada rakyat di seluruh negara.
MyNotifikasi Lebih Bersasar & Boleh Semak Lokasi Pusat NADI
Selain urusan pasport, fungsi MyNotifikasi turut dipertingkatkan dengan keupayaan penyampaian makluman yang lebih bersasar dan diperibadikan mengikut keperluan setiap pengguna.
Penambahbaikan ini membolehkan orang ramai menerima hebahan rasmi secara terus melalui aplikasi berkenaan, termasuk pengumuman penting, program, serta inisiatif terkini daripada pelbagai kementerian, jabatan, dan agensi kerajaan agar tidak terlepas maklumat yang relevan.
Tidak cukup dengan itu, aplikasi MyGOV Malaysia juga kini dilengkapi dengan fungsi semakan lokasi bagi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ciri baharu ini memudahkan komuniti setempat mengenal pasti pusat NADI berhampiran untuk menikmati pelbagai kemudahan percuma seperti akses internet, pemeriksaan kesihatan, dan juga program Tuisyen Rakyat demi memperkukuh literasi digital serta peluang pembelajaran.
Seiring Aspirasi Menuju Negara AI 2030
Menurut Kementerian Digital dalam satu kenyataan rasmi, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital melalui kerjasama rentas kementerian dan agensi demi merealisasikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, bersepadu dan berpaksikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia menuju ke arah Negara AI 2030.”
Sehubungan itu, orang ramai amat digalakkan untuk memuat turun atau mengemas kini aplikasi MyGOV Malaysia ke versi terkini sekarang melalui Apple App Store, Google Play Store, mahupun Huawei App Gallery bagi mula menikmati kemudahan di hujung jari ini.
Lepas ni, semua urusan rasmi jadi makin senang lah!
Sumber: Siaran Media Kementerian Digital
