Tahun lepas, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menjadi bualan ramai kerana ia mencatat sejarah arena filem Malaysia apabila ia berjaya menjadi filem yang mendapat kutipan tertinggi.
Disebabkan filem bergenre sejarah itu berjaya, pengarahnya Syamsul Yusof tahun lepas mengumumkan bahawa bakal ada prekuel kepada filem tersebut.
Pun begitu, pelakon yang menjadi teraju utama filem tersebut iaitu Datuk Adi Putra memberitahu beliau tidak akan terlibat dalam pembikinan prekuel tersebut selepas menerima kenyataan daripada pihak produksi, Kembara Studio.
Menurut Gempak, beliau yang memegang watak Mat Kilau dalam filem itu bagaimanapun akur dengan keputusan tersebut.
“Saya dapat pengesahan menerusi kenyataan yang dikeluarkan daripada penerbit, jadi saya akur dengan pengesahan yang dibuat.
Saya terima dengan qada’ dan qadar. Saya juga tidak mempersoalkan mengenai perkara tersebut. Saya reda,” katanya.
Pelakon berusia 42 tahun itu juga berkata beliau tiada hak mutlak dalam menentukan barisan pelakon dalam prekuel filem tersebut.
“Saya tak mahu komen, namun saya tetap melahirkan rasa syukur dan alhamdulillah sebab penerbit dan pelakon ada batasan.
Pelakon ini dalam kategori freelance, tidak ada mutlak kerana kami tidak menerbitkan sesuatu,” katanya lagi.
Sebagai info, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya memecahkan rekod apabila menjadi filem yang paling banyak ditonton dengan berjaya mengutip hampir RM100 juta.
Baca: “Sejarah Palestin dan Malaysia tak jauh beza” – Filem Mat Kilau Ditayangkan Di Gaza