in

Pemandu Lori Didenda RM30K Sebab Hantar Video L*cah Bekas Isteri Kepada Suami Baharu

Ft Pemandu Lori

Seorang pemandu lori terpaksa menanggung padah apabila tindakannya menghantar gambar serta video lucah bekas isterinya kepada suami baharu wanita berkenaan menerusi WhatsApp membawa kepada hukuman denda RM30,000.

Mohd Suhaimi Yusof, 50, dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis selepas mengaku bersalah atas 5 pertuduhan.

Hakim Shahrul Rizal Majid turut menetapkan hukuman penjara 10 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda tersebut.

Artikel berkaitan : Rakam & Jual Puluhan Klip Video Lucah, Polis Cekup ‘Gigolo’ Tempatan Bersama 2 Teman Wanita

Artikel berkaitan : Buat Lawak Lucah Ketika Maryam Kongsi Tips Pilih Buah Tembikai, Ryzal Ibrahim Dikritik

Pengadu dakwa berang sebab ditipu

Screenshot 2026 09 10 181251

Berdasarkan 5 pertuduhan yang dikenakan secara berasingan, tertuduh didakwa menyalahgunakan perkhidmatan WhatsApp dengan menghantar tiga gambar dan dua rakaman video berunsur lucah kepada seorang lelaki.

Perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk mengganggu lelaki berkenaan. Kesemua kesalahan tersebut berlaku pada 22 Mac 2023 di sebuah premis di Mantin, Seremban.

Tindakan berkenaan menyebabkan tertuduh, Mohd Suhaimi didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama sementara di bawah Seksyen 233(3), pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.

Hantar lima kandungan lucah kepada suami bekas isteri

Screenshot 2026 09 10 181321

Dalam fakta kes, pengadu mendakwa bahawa dia menerima beberapa gambar dan video lucah daripada tertuduh yang merupakan bekas suami kepada isterinya. Kandungan berkenaan memaparkan isterinya dan menyebabkan pengadu berasa sangat terkilan serta terganggu selepas menerimanya.

Pengadu kemudian membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Ketika prosiding hukuman, Mohd Suhaimi hadir tanpa diwakili peguam dan tidak mengemukakan sebarang rayuan terhadap hukuman yang bakal dikenakan.

Malah, tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa dirinya reda sekiranya dihukum penjara. Tertuduh turut memberitahu bahawa dia kini bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai 4 orang anak.

Daripada jumlah itu, 3 orang anaknya masih bersekolah dan kesemuanya dijaga oleh bekas isterinya. Menurutnya, tindakan menghantar kandungan tersebut dilakukan kerana dia berang selepas mendakwa dirinya telah ditipu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Shahrul Rizal menasihatkan tertuduh supaya memikirkan terlebih dahulu kesan daripada setiap tindakan yang dilakukan.

“Akibatnya kamu sendiri yang kena tanggung. Nasihat saya selepas ini fikir dulu baik, buruk,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan denda RM6,000 bagi setiap satu daripada lima pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM30,000.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama 2 bulan bagi setiap pertuduhan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pengarah/Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohamad Farhan Kamarudin.

Sumber : Sinar Harian