in

Nak Cari Maklumat Sekolah Anak? Portal Sekolahku Himpunkan Info Sekolah Dalam Satu Platform

Ana Sr 11

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Korang yang ada anak bersekolah atau sedang mencari maklumat mengenai sekolah tertentu mungkin pernah berdepan situasi perlu mencari maklumat daripada pelbagai sumber, kan?

Kadangkala, nak dapatkan maklumat asas sesebuah sekolah pun memerlukan kita membuat carian di beberapa platform berbeza.


Namun, menerusi pengenalan Portal Sekolahku, masyarakat kini mempunyai satu platform digital berpusat yang dibangunkan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat rasmi berkaitan sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Portal ini dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Digital menerusi GovTech Malaysia dan KPM sebagai salah satu usaha memperkemas akses kepada maklumat pendidikan.

Portal Sekolahku Mudahkan Ibu Bapa Cari Maklumat Sekolah

Dsc 1087

Menerusi portal ini, pengguna boleh membuat carian sekolah berdasarkan lokasi, melihat profil sekolah serta mendapatkan maklumat dan statistik asas sekolah melalui satu platform yang lebih mudah, tersusun dan mesra pengguna.

Kemudahan ini pastinya boleh membantu ibu bapa dan penjaga yang memerlukan maklumat rasmi berkaitan sekolah dengan lebih cepat tanpa perlu merujuk kepada pelbagai sumber berasingan.

Menteri Digital,Gobind Singh Deo berkata, Portal Sekolahku dibangunkan dengan matlamat menyediakan satu platform digital berpusat bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat rasmi sekolah.

Menurut beliau, transformasi digital kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah sebenar yang dihadapi rakyat, bukannya sekadar memperkenalkan teknologi baharu.

Bukan Sekadar Portal, Tapi Usaha Mudahkan Urusan Rakyat

Dsc 1014 1

Dalam ucapannya sempena Majlis Penyerahan Portal Sekolahku, Gobind menjelaskan bahawa inisiatif itu mencerminkan kepentingan kerjasama antara kementerian dalam menghasilkan penyelesaian digital yang memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Jelas beliau, pengguna tidak sepatutnya dibebankan dengan kerumitan struktur pentadbiran atau perlu mencari maklumat daripada pelbagai sumber untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan.

“Dalam era digital ini, rakyat mengharapkan perkhidmatan Kerajaan yang lebih mudah, pantas dan mesra pengguna. Mereka tidak seharusnya dibebankan dengan kerumitan struktur pentadbiran atau perlu mencari maklumat daripada pelbagai sumber untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan.

“Portal Sekolahku merupakan contoh pendekatan Whole-of-Government, iaitu kerjasama antara kementerian dan agensi kerajaan dengan menggabungkan kepakaran masing-masing.”

Dalam projek ini, KPM menyumbangkan pengetahuan berkaitan ekosistem pendidikan dan keperluan pengguna, manakala GovTech Malaysia pula menggunakan kepakaran dalam mereka bentuk serta membangunkan penyelesaian digital.

KPM Akan Terus Perkasa Portal Selepas Penyerahan

Untuk memastikan portal ini terus memberikan manfaat kepada masyarakat, penyerahan Portal Sekolahku kepada KPM turut menjadi satu langkah penting dalam memastikan pengurusan dan penyelenggaraannya dapat diteruskan.

Menurut Gobind, kejayaan sesebuah projek digital bukan hanya diukur berdasarkan kejayaan sistem dibangunkan atau dilancarkan, sebaliknya sejauh mana ia terus digunakan dan memberikan nilai kepada rakyat dalam jangka panjang.

Jelasnya, KPM sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap ekosistem pendidikan negara perlu memastikan kandungan portal sentiasa dikemas kini, sistem kekal relevan dan penambahbaikan dapat dilakukan berdasarkan keperluan pengguna.

“Saya berharap Portal Sekolahku dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh ibu bapa, penjaga dan masyarakat sebagai sumber maklumat sekolah yang mudah diakses serta boleh dipercayai.”

Pendek kata, usaha pendigitalan seperti ini diharapkan dapat menjadikan urusan mendapatkan maklumat rasmi lebih mudah, sekali gus membantu masyarakat berinteraksi dengan perkhidmatan kerajaan melalui pengalaman yang lebih lancar.

Sumber: Siaran Media Kementerian Digital

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.