Tidak dapat dinafikan, rakyat Malaysia memang sangat prihatin terutama sekali buat mereka yang memerlukan.
Pun begitu, kemuliaan hati rakyat Malaysia ini diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjalankan kegiatan mengemis.
Terbaru, dalam laporan Kosmo!, pengemis warga asing di Melaka dapat meraih RM 500 sehari di bazar Ramadan sekitar negeri itu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan itu dilakukan selepas ada aduan berkenaan aktiviti mengemis yang semakin meningkat di bazar Ramadan, pusat beli-belah serta pasar raya dengan sebahagiannya turut tular di media sosial.
Dalam serbuan tersebut, suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun terbabit ditangkap bersama tiga pengemis warga asing berusia antara 33 sehingga 46 yang dibawanya dari Kuantan.
Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga warga asing itu telah dibawa dari Kuantan ke Melaka semata-mata untuk melakukan aktiviti mengemis.
“Dalang utama ini bertanggungjawab membawa tiga warga asing itu ke Melaka dengan menggunakan kenderaanya bagi tujuan mengemis dan menguruskan tempat tinggal mereka di sebuah hotel di Jalan Tun Perak di sini.
Sindiket ini turut juga memperolehi hasil kutipan harian antara RM400 sehingga RM500 dengan menyasarkan tapak-tapak bazar Ramadan,” katanya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.
Baca: “Eh bukannn” – Dua Wanita Terhibur Disangka Pengemis Ketika Sedang Makan Burger Di Tepi Jalan