Kalau korang ingat Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 sekadar pameran produk halal, nampaknya edisi tahun ini buktikan ia jauh lebih besar daripada itu.
Program yang berlangsung selama empat hari dari 23 hingga 26 September 2026 itu berjaya mencatat jumlah jualan sebanyak RM6.78 bilion.
Jumlah itu meningkat RM730 juta atau 12 peratus berbanding RM6.05 bilion yang direkodkan pada tahun 2025, malah pencapaian tersebut turut melepasi sasaran jualan RM5 bilion sebanyak RM1.78 bilion atau 35.5 peratus.
Mengulas pencapaian itu, pihak MIHAS dalam kenyataan berkata platform berkenaan bukan sekadar berkembang dari segi jualan, malah membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan Malaysia, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“MIHAS 2026 membuktikan bahawa platform ini tidak hanya berkembang dari segi jualan, malah mencipta peluang yang lebih besar untuk perniagaan Malaysia, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), untuk menembusi pasaran antarabangsa. Kami kekal komited untuk memperkasa PKS dan Syarikat Peringkat Pertengahan (Mid-Tier Companies) bagi memperluas pasaran global, terutamanya di pasaran baharu dan bukan tradisional.”
Lebih 69,000 Pengunjung Dari 93 Negara Hadir

MIHAS 2026 turut menyaksikan peningkatan dari segi jumlah pengunjung apabila berjaya menarik 69,104 pengunjung dari 93 negara, berbanding 50,340 pengunjung pada tahun 2025 sekaligu mencatatkan peningkatan sebanyak 18,764 pengunjung atau 37.3 peratus.
Selain itu, MIHAS 2026 turut menghimpunkan pempamer dan pembeli INSP dari 58 negara, sekali gus memperkukuh jangkauan antarabangsa serta daya tarikan MIHAS sebagai platform perdagangan halal global.
Program Penyumberan Antarabangsa Jana RM4.02 Bilion

Antara komponen yang menyumbang kepada prestasi MIHAS tahun ini ialah Program Penyumberan Antarabangsa (INSP).
Program tersebut menjana RM4.02 bilion, meningkat daripada RM3.63 bilion pada tahun 2025 sekali gus mencatat peningkatan sebanyak RM394.5 juta atau 10.9 peratus.
INSP menyediakan platform pertemuan perniagaan berstruktur antara penjual Malaysia dan pembeli antarabangsa, termasuk peluang dalam bidang sumber bekalan, padanan perniagaan dan potensi transaksi eksport.
Sementara itu, Pameran MIHAS pula merekodkan kira-kira RM1.99 bilion, berbanding RM1.89 bilion pada tahun sebelumnya.
Antara produk utama yang menyumbang kepada jualan pameran ialah makanan diproses, teknologi makanan dan pembungkusan, makanan sejuk beku serta baja dan agrokimia.
PKS Malaysia Catat Jualan RM620 Juta

Menariknya, MIHAS 2026 turut memberikan ruang yang besar kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia untuk menembusi pasaran global.
Pada edisi kali ini, PKS Malaysia menjana RM620 juta dalam jualan, berbanding RM557 juta pada tahun 2025.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan kira-kira RM63 juta atau 11.3 peratus.
Malah, penyertaan PKS dalam MIHAS juga menunjukkan perkembangan yang ketara apabila meningkat daripada hanya 64 syarikat pada 2021 kepada 339 syarikat pada 2026.
Perkembangan ini turut selari dengan pertumbuhan eksport halal Malaysia yang mencecah RM68.52 bilion pada 2025, meningkat 10.9 peratus daripada RM61.79 bilion pada 2024.
Di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Malaysia menyasarkan eksport halal sebanyak RM80 bilion, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada syarikat Malaysia, khususnya PKS, untuk mengembangkan pasaran antarabangsa.
AI Bantu Jana Lebih 22,000 Pertemuan Perniagaan
Edisi MIHAS kali ini turut membawa elemen teknologi apabila Agentic AI digunakan bagi membantu hubungan perniagaan.
Sepanjang MIHAS 2026, lebih 22,000 pertemuan perniagaan yang dibantu AI telah dijana dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 324 padanan menghasilkan nilai jualan sebanyak RM28 juta.
Mengulas mengenai penggunaan teknologi, pihak MIHAS berkata pencapaian jualan itu mencerminkan peluang yang amat bernilai dengan integrasi Agentic AI, kini berkembang menjadi ekosistem perdagangan yang lebih berdaya digital.
Katanya usaha ini turut membantu syarikat Malaysia mengenalpasti bakal pembeli, membina hubungan perniagaan yang bermakna, serta meneroka peluang eksport baharu melangkaui ruang pameran.
Malah, platform AI tersebut akan terus beroperasi sehingga 2027.
“Ini membolehkan syarikat yang terlibat meneruskan hubungan, berinteraksi dengan bakal pembeli dan meneroka peluang perdagangan baharu selepas tamatnya pameran selama empat hari itu.
“Secara keseluruhannya, MIHAS 2026 bukan sahaja mencatatkan peningkatan dari segi jualan dan jumlah pengunjung, malah terus memperluas peluang untuk perniagaan Malaysia, khususnya PKS.
“Dengan gabungan penyertaan antarabangsa, padanan perniagaan dan teknologi AI, MIHAS kini berkembang melangkaui konsep pameran perdagangan konvensional kepada ekosistem perdagangan yang lebih terhubung dan berasaskan digital.”
