in

Mat Sabu Jawab Dakwaan Bantuan Pesawah Lambat Bayar, Ini Penjelasannya

Collage 16

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Baru-baru ini, timbul dakwaan di media sosial kononnya kerajaan mengumumkan bantuan kepada pesawah tetapi gagal menyalurkannya atau mengambil masa terlalu lama untuk membuat bayaran. Isu itu kemudian mengundang pelbagai reaksi, terutama dalam kalangan rakyat yang mengikuti perkembangan bantuan kepada golongan pesawah.

Susulan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu tampil memberi penjelasan bagi memperbetulkan persepsi yang disifatkan tidak tepat serta mengelakkan fitnah terus tersebar tanpa semakan fakta.


670431378 1491811532310723 301316705813824458 N

Menurut beliau, Kerajaan MADANI telah menaikkan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM100 kepada RM160 sehektar bermula musim 1/2025. Malah, kerajaan turut mengumumkan kenaikan baharu kepada RM300 sehektar.

Bagi musim 1/2025, bayaran IPKP dilaporkan telah selesai sepenuhnya melibatkan RM39.314 juta kepada lebih 135,000 pesawah di seluruh Semenanjung Malaysia. Sementara itu bagi musim 2/2025, lebih RM27 juta telah dibayar setakat ini, manakala baki kira-kira 30 peratus tuntutan sedang dalam proses dan dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.

Kenapa Bayaran Tidak Dibuat Serentak?

Padi 5 Scaled 1

Ramai mempersoalkan kenapa bantuan tidak terus dibayar kepada semua penerima pada masa yang sama. Menurut penjelasan diberikan, kaedah bayaran IPKP adalah secara “buat dulu, baru tuntut”.

Ini bermaksud tuntutan dibuat berdasarkan kerja sebenar yang dilaksanakan di sawah, bukan dibayar secara automatik seperti bantuan tunai lain. Selain itu, musim penanaman padi di setiap negeri juga tidak seragam. Ada negeri yang sudah mula menanam, manakala negeri lain masih berada dalam fasa menuai.

Disebabkan itu, proses bayaran memerlukan semakan mengikut jadual dan tuntutan semasa. Selepas tuntutan dikemukakan oleh pesawah atau penyedia perkhidmatan, pegawai berkaitan akan turun ke lapangan bagi membuat pengesahan terlebih dahulu.

Kerajaan Turut Tambah Bantuan & Baiki Sistem

Mat Sabu Kekentalan Jiwa Menteri Pertahanan Malaysia 3

Selain IPKP, kerajaan turut memperkenalkan Insentif Penuaian Padi (IPP) sebanyak RM50 sehektar bermula tahun 2025. Bantuan baharu itu dikatakan tidak pernah diwujudkan sebelum ini dan menggunakan kaedah tuntutan yang sama.

Dalam masa sama, Mat Sabu turut memaklumkan sebarang kelemahan dalam proses tuntutan yang dikenal pasti akan terus diperbaiki dari semasa ke semasa.

Antara isu yang sedang diberi perhatian ialah dakwaan terdapat penyedia perkhidmatan yang tidak memulangkan lebihan bayaran kepada pesawah selepas menerima bayaran daripada kerajaan. Perkara itu menurut beliau sedang ditangani pihak kementerian.

Sumber: Facebook

Sumber: Iluminasi

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.