in

MAHA 2026 Catat Kejayaan Cemerlang Dengan Sambutan Luar Biasa

Feat

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang melabuhkan tirainya semalam mencatatkan satu lagi kejayaan membanggakan dengan sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia, selain mencatatkan pencapaian memberangsangkan dari segi jumlah kehadiran pengunjung dan nilai ekonomi.

Sepanjang 10 hari penganjurannya di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), MAHA 2026 berjaya menarik lebih 5 juta pengunjung melepasi sasaran 4 juta pengunjung, manakala lebih 1 juta kenderaan direkodkan sepanjang tempoh penganjuran.

Peningkatan kehadiran daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk masyarakat Cina dan India, memperlihatkan MAHA semakin diterima sebagai sebuah platform nasional yang merentasi kaum dan latar belakang. Sambutan ini turut mencerminkan keterangkuman MAHA sebagai ruang untuk rakyat bersama-sama mengenali, menikmati dan menyokong perkembangan sektor pertanian, agromakanan dan agropelancongan negara.

Kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah meluangkan masa untuk hadir, memeriahkan serta memberikan sokongan kepada MAHA 2026. Sokongan daripada masyarakat pelbagai kaum inilah yang menjadi antara kekuatan utama dalam memastikan MAHA terus berkembang sebagai acara yang dekat dengan rakyat.

Maha 2026

Kejayaan MAHA 2026 turut diterjemahkan menerusi pencapaian ekonomi yang signifikan, dengan 97 Memorandum Persefahaman (MoU) berjaya dimeterai melibatkan nilai keseluruhan lebih RM10.35 bilion melebihi sasaran RM8 bilion manakala nilai jualan keseluruhan pula mencapai lebih RM73 juta melepasi sasaran RM58 juta.

Lebih membanggakan, kehadiran lebih 2 juta belia, bersamaan 40 peratus daripada keseluruhan pengunjung, turut hadir memeriahkan MAHA 2026, sekali gus mencerminkan peningkatan minat golongan muda terhadap sektor pertanian dan agromakanan. Sasaran awal kementerian 800 ribu. Pencapaian ini membuktikan bahawa MAHA terus kekal sebagai platform utama negara dalam menghimpunkan seluruh ekosistem pertanian dan agromakanan, disamping membuka ruang serta peluang perniagaan, pelaburan dan jaringan kerjasama kepada pelbagai pihak.

Sambutan yang amat menggalakkan sepanjang penganjuran turut mencerminkan minat dan sokongan berterusan rakyat terhadap sektor pertanian dan agromakanan negara. Pelbagai pengisian yang diketengahkan menerusi MAHA 2026 berjaya mendekatkan masyarakat dengan perkembangan teknologi dan inovasi, selain mengetengahkan potensi besar sektor pertanian sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Kejayaan MAHA 2026 merupakan hasil komitmen serta kerjasama erat semua kementerian, jabatan dan agensi, kerajaan negeri, pempamer, rakan strategik, media, petugas serta seluruh pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran edisi kali ini.

MAHA 2026 sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai platform berprestij yang bukan sahaja mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat, malah berjaya menjana nilai ekonomi yang signifikan serta memperkukuh agenda pembangunan sektor pertanian, agromakanan dan keterjaminan makanan negara, selaras dengan agenda dan harapan Kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat.