Nepal, sebuah negara yang tersembunyi di antara gunung-gunung Himalaya, menawarkan keindahan yang memukau dan memikat hati. Dikenal sebagai “Atap Dunia” kerana rumah bagi puncak tertinggi di dunia, Gunung Everest, Nepal merupakan syurga bagi para pecinta alam.
Pun begitu, di sebalik keindahan ini menurut platform Our World in Data dari Universiti Oxford, Nepal tersenarai sebagai negara paling tercemar di dunia.
Menurut laporan, penduduk di Nepal terdedah kepada 99.73 mikrogram setiap meter padu zarah halus secara purata dalam udara sepanjang tahun.
Angka tersebut adalah hampir 20 kali lebih tinggi daripada had membimbangkan yang ditetapkan dalam garis panduan pencemaran udara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menurut pakar.
Secara purata, WHO menyatakan kepekatan tahunan zarah halus PM2.5 tidak boleh melebihi 5 mikrogram setiap meter padu.
Berada di tempat ke-2 dalam senarai tersebut, Niger mencatatkan 94.05 mikrogram setiap meter padu manakala Qatar di tempat ketiga dalam senarai negara dengan kualiti udara tercemar.
Selain itu, para penyelidik berkata, kepekatan pencemaran udara di seluruh Afrika Utara juga sangat tinggi, sebahagiannya adalah disebabkan keadaan lebih kering dengan peningkatan partikel habuk dan pasir.
Melengkapkan senarai lima negara teratas dengan kualiti udara terburut ialah India di mana populasi seramai 1.4 bilion negara tersebut terdedah kepada pencemaran diikuti oleh Arab Saudi.
Sementara itu, negara dengan kualiti udara paling bersih dengan pendedahan tahunan terendah adalah Finland, diikuti oleh Brunei, New Zealand, Sweden, Kanada dan juga Iceland.
Pun begitu, paras rendah yang dicatatkan oleh kesemua negara ini masih melebihi tahap udara selamat yang ditetapkan oleh WHO.
Sumber : Utusan
Baca : “Operasi yang jarang berlaku” – Malim Gunung Selamatkan Pendaki Malaysia Dari ‘Zon Maut’ Everest