Sekarang ini, hampir semua perkara boleh dilakukan secara dalam talian, daripada urusan kerja, pembelajaran hinggalah perniagaan.
Tapi dalam keghairahan dunia mengejar kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), satu perkara yang tidak boleh dilupakan ialah memastikan semua orang turut mendapat peluang untuk menikmatinya.
Perkara itu antara yang ditekankan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika menyertai Persidangan Meja Bulat Peringkat Menteri sempena Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) di Doha, Qatar pada 8 November lalu.

Menerusi persidangan tersebut, Malaysia menyambut baik draf Deklarasi Menteri Doha (Doha Ministerial Declaration) yang menggariskan hala tuju bersama dalam menangani peluang dan cabaran transformasi digital.
Menurut Fahmi, perkembangan teknologi yang semakin pesat kini telah mengubah cara manusia menjalani kehidupan, bekerja dan menjalankan perniagaan.
“Usaha merapatkan jurang digital perlu diberi perhatian supaya semua orang berpeluang mengambil bahagian dan menikmati manfaat ekonomi digital.”
Ada Internet Sahaja Tak Cukup, Kemudahan Pun Kena Mampu Milik
Fahmi berkata, Malaysia akan memberi tiga keutamaan penting dalam membentuk masa depan digital, iaitu memastikan kesalinghubungan digital yang bermakna, memperluas keterangkuman digital serta mewujudkan persekitaran digital yang selamat serta boleh dipercayai.
Jelasnya, kemudahan internet tidak sepatutnya dinilai berdasarkan keluasan liputan rangkaian semata-mata kerana masyarakat juga perlu mendapat akses mampu milik, stabil dan boleh dipercayai.
“Kesalinghubungan digital yang bermakna perlu melangkaui sekadar liputan rangkaian. Ia mestilah mampu milik, boleh dipercayai dan berdaya tahan dalam menyokong komuniti, perkhidmatan penting serta aktiviti ekonomi.”
Malaysia turut menyambut baik penekanan terhadap pembangunan infrastruktur digital yang mampan dan berdaya tahan, terutama bagi memastikan perkhidmatan komunikasi penting terus berfungsi ketika berlaku kecemasan atau gangguan.
AI Makin Canggih, Tapi Jangan Sampai Negara Membangun Ketinggalan
Dalam perkembangan teknologi yang semakin pesat, kemunculan AI dan teknologi baharu juga perlu membuka peluang kepada semua negara, termasuk negara membangun serta komuniti yang masih kurang mendapat akses kepada kemudahan digital.
Menurut Fahmi, transformasi digital perlu memberi peluang kepada semua orang tanpa mengira lokasi tempat tinggal atau tahap kesediaan mereka menggunakan teknologi.
Beliau turut menegaskan bahawa negara membangun dan komuniti yang kurang mendapat akses kepada kemudahan digital tidak sepatutnya sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu diberi peluang untuk turut membentuk perkembangannya.
“Mereka bukan sahaja perlu diberi peluang menggunakan teknologi ini, tetapi juga berpeluang membantu membentuk perkembangannya serta menikmati peluang yang diwujudkan.”
Teknologi Makin Maju, Keselamatan Pengguna Jangan Dilupakan
Selain memastikan semua orang mendapat akses kepada teknologi, aspek keselamatan juga tidak boleh dipandang ringan.
Ini termasuk usaha memperkukuh keselamatan siber, melindungi kanak-kanak ketika berada dalam talian serta memastikan teknologi baharu dibangunkan dan digunakan secara bertanggungjawab.
Fahmi berkata, perkembangan inovasi perlu bergerak seiring dengan langkah perlindungan yang sewajarnya supaya masyarakat berasa lebih yakin untuk menggunakan kemudahan digital.
“Bagi Malaysia, inovasi perlu bergerak seiring dengan perlindungan yang sewajarnya. Ini akan memberikan keyakinan kepada masyarakat untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh teknologi digital.”
Dalam masa sama, Malaysia turut menyambut baik kepentingan kerjasama antarabangsa dan mengiktiraf peranan ITU (International Telecommunication Union) dalam memperluas kesalinghubungan digital, membangunkan piawaian teknikal serta meningkatkan keupayaan negara anggota.
Sumber Berita & Gambar :Siaran Media Kementeriaan Komunikasi & Bernama
