Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu akan menjalankan siasatan susulan penemuan beberapa batang jarum yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penagihan dadah di kawasan pantai belakang Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Pengarahnya, Arzmi Abdullah, berkata setakat ini pihaknya tidak pernah mengenal pasti kawasan pantai berkenaan sebagai lokasi tumpuan penagih.
Sebelum ini, kawasan yang sering dipantau adalah sekitar Seberang Takir dan persisiran sungai.
Menurut beliau, pihak AADK belum menerima sebarang aduan rasmi berkaitan lokasi tersebut dan penemuan berkenaan merupakan maklumat pertama diterima, susulan gambar yang tular di media sosial.

Artikel berkaitan: Rakyat Malaysia Berdepan Hukuman Penjara Seumur Hidup Di Filipina Akibat Seludup Dadah
Artikel berkaitan: Polis Temui Dadah Dalam Kenderaan Kemalangan Di Plaza Tol
Berdasarkan imej yang dikongsi, jarum berkenaan dipercayai digunakan bagi penagihan heroin, yang lazimnya melibatkan penagih tegar.
Beliau menjelaskan penggunaan heroin secara suntikan memerlukan proses tertentu termasuk pemanasan bahan sebelum disedut menggunakan jarum, berbeza dengan trend semasa yang lebih cenderung kepada penggunaan dadah jenis syabu atau ‘ais’.
AADK Terengganu akan mengarahkan pegawai menjalankan risikan dan pemantauan di lokasi terbabit sebelum sebarang tindakan lanjut diambil, termasuk kemungkinan operasi khas.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat terus kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera dilaksanakan, susulan kebimbangan risiko kecederaan serta jangkitan penyakit akibat pembuangan jarum di kawasan awam itu.
Sumber: Berita Harian
