Selepas kisahnya diketahui umum, akhirnya adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin selamat berlepas ke London, United Kingdom (UK).
Bayi berusia sembilan bulan itu terbang ke sana malam semalam bagi merawat penyakit kanser mulut, ‘Germ Cell Tumour’ sambil diiringi oleh kedua-dua ibubapanya.
“Terima kasih rakyat Malaysia”
Bapa Ainul, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, juga sempat menitip kata-kata buat rakyat Malaysia di akaun Facebook sebelum mereka berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Terima kasih rakyat Malaysia. Sampai kita bertemu lagi. Doakan kami selamat pergi dan balik ya.”
Pemergian mereka diitemani oleh dua orang doktor pengiring yang ke sana atas perbelanjaan sukarela masing-masing.
Hanya Allah swt sahaja mampu membalas usaha
Ahmad Safiuddin juga amat terharu dengan kata-kata dan layanan diterima daripada semua pihak sepanjang urusannya untuk ke UK.
“Kita mungkin tak dapat kenal dan borak lebih panjang sebab dua hari ini saya sangat sibuk selesaikan beberapa urusan penting. Tapi saya doakan supaya doa tuan/puan kepada kami sekeluarga dikembalikan semula kepada tuan/puan.
Hanya Allah swt sahaja mampu membalas usaha dan niat baik tuan/puan. Saya sangat menghargainya!
Semoga Allah menggantikan tuan/puan dengan sesuatu lebih baik dan bermakna dalam hidup tuan puan!”
Kisah Ainul tarik perhatian Dr Amalina
Kisah adik Ainul menarik perhatian netizen apabila ia mula viral di media sosial.
Perkara ini telah menarik perhatian pakar bedah Malaysia, Dr Amalina Che Bakri, yang kini berpangkalan di UK bagi membantu usaha rawatan bersama kumpulan doktor pakar di negara berkenaan.
Pada awalnya, kos rawatan bagi bayi berkenaan di sana untuk urusan rawatan pembuangan kanser dan rawatan susulan dijangka mencecah RM1 juta.
Atas keprihatinan pelbagai pihak, kos perbelanjaan dan pengangkutan berjaya dikumpulkan.
Semoga adik Ainul Mardhiah pulih sepenuhnya. Sama-sama kita doakan rawatan dan perjalanan mereka di sana dipermudahkan Tuhan.